Pembeli rumah maut ditembak pemilik lama
BANGKOK - Seorang wanita di Thailand maut ditembak selepas bekas pemilik sebuah rumah yang dibelinya enggan berpindah ketika kejadian pada Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Kamolporn Donthong, 52, membeli rumah di Rangsit-Nakhon Nayok Road di daerah Thanyaburi, utara Bangkok yang disita bank dan dijual melalui Jabatan Pelaksanaan Undang-undang.
Decha Phayakkha, 66, yang berang selepas diminta keluar segera dari rumah itu bertindak menembak mangsa yang berada di luar kediaman tersebut.
Selepas dipujuk anaknya, suspek akhirnya menyerah diri kepada pihak berkuasa yang bertindak mengepung rumah tersebut selama lebih empat jam.
Ketua Polis, Jirawat Piampinset memberitahu, pada mulanya, pasukan yang dikerah ke lokasi kejadian meminta suspek meletakkan senjata, namun tidak dihiraukan olehnya.
Decha turut melepaskan tembakan ketika anggota polis operasi khas menghampiri rumahnya.
Decha kini ditahan di Balai Polis Thanyaburi dan didakwa atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh anggota keselamatan dan kesalahan senjata api. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!