Nelayan, petani akan terima Bantuan Sara Hidup

Datuk Salahuddin Ayub. - Foto Mohd Izari Rosli
Datuk Salahuddin Ayub. - Foto Mohd Izari Rosli
A
A
A
IPOH - Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Sara Hidup (BSH) musim tengkujuh kepada pekebun-pekebun kecil di negara ini dalam masa terdekat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata bantuan itu akan turut diberikan kepada petani, nelayan, penoreh getah termasuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau berkata kabinet pada Rabu lepas telah bersetuju menyalurkan bantuan tersebut selepas menerima laporan mengenai keadaan golongan berkenaan yang terjejas pendapatan disebabkan musim tengkujuh.

"Jumlah bantuan akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2018 di sini hari ini.

Konvensyen tiga hari bermula hari ini bertemakan 'Menggalas Amanah, Membina Negara', dihadiri 1,000 ahli perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar serta kira-kira 3,000 pemerhati dari dalam dan luar negara.

Ditanya sama ada bantuan itu akan diberikan secara sekali sahaja, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

Terdahulu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam pidato presiden berharap kerajaan dapat mengembalikan BSH musim tengkujuh kepada pekebun-pekebun kecil di negara ini.

Selain itu, Mohamad juga berharap supaya kerajaan dapat menangani masalah kejatuhan harga sawit yang memberi kesan besar kepada peneroka dan pekebun kecil.

“Amanah akan terus komited memperjuangkan agar kebajikan mereka lebih terpelihara di bawah pemerintahan kerajaan PH. Mereka inilah golongan yang paling terhimpit dengan keadaan ekonomi semasa.
Artikel Berkaitan:


“Pengumuman terbaru kerajaan untuk menaikkan harga lantai getah kepada RM2.50 sekilogram dan juga kenaikan skim harga subsidi padi kepada RM360 bagi satu tan amatlah dihargai,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!