Pelaksanaan Fasa 1 Jendela berjaya, lepasi sasaran ditetapkan
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) (2020-2022) telah melepasi sasaran kawasan liputan perangkaian, kelajuan rangkaian mudah alih dan kesalinghubungan gentian yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, Fasa 1 Jendela yang selesai hari ini telah mencapai 7.74 juta premis sedia untuk disambungkan dengan Internet gentian, melebihi 7.5 juta premis pada sasaran awal.
Beliau berkata, penyiapan Fasa 1 Jendela juga menyaksikan 96.92 peratus kawasan berpenduduk sekarang mempunyai kelajuan liputan rangkaian mudah alih dan 4G, 116.03 megabit sesaat (Mbps).
Sasaran awal liputan rangkaian 4G ialah 96.9 peratus dan sasaran kelajuan rangkaian mudah alih ditetapkan pada 35 Mbps.
"Langkah paling penting sekarang ialah untuk mencapai pada tahap tertentu dan mengekalkannya pada tahap itu atau lagi baik lagi dapatkan tahap yang lebih tinggi daripadanya,” katanya kepada kepada media dan penganalisis secara dalam talian semasa pembentangan laporan penyudahan Fasa 1 Jendela pada Khamis.
Mohd Ali Hanafiah berkata, dengan lengkapnya Fasa 1 Jendela, Fasa 2 Jendela dijangka bermula seawal suku ketiga (S3) tahun ini atau paling lewat menjelang suku keempat (S4).
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat halangan yang perlu diatasi sebelum Fasa 2 dilaksanakan termasuk peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian seperti yang diumumkan baru-baru ini.
"Kerajaan telah membuat kajian semula dan dasar rangkaian borong tunggal akan diteruskan hanya sehingga kita capai 80 peratus (liputan 5G) pada hujung tahun ini.
Selepas itu kita akan berhijrah kepada dwirangkaian. Apa telah dilakukan kerajaan adalah menubuhkan sebuah pasukan petugas yang bermesyuarat setiap dua minggu. Melalui pasukan petugas ini ini akan menyelidiki semua isu dan halangan,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan Tawaran Akses Rujukan (RAO) juga mungkin perlu dikemas kini atau diganti kerana ia hanya direka bentuk untuk model rangkaian borong tunggal.
"Sebaik sahaja ia menjadi entiti berkembar, ia akan berbeza daripada RAO yang kita ada hari ini yang berasaskan kepada sebuah model rangkaian borong tunggal. Bahkan ini adalah antara yang dibincangkan pasukan petugas pada masa ini,” katanya.
Perkara ini timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ibrahim mengumumkan pelaksanaan 5G negara akan bertukar kepada model dwirangkaian sebaik sahaja rangkaian di bawah Digital Nasional Bhd mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk bagi memastikan kualiti rangkaian 5G.
Dalam taklimat hari ini, Mohd Ali Hanafiah juga mengumumkan liputan 5G dalam kawasan berpenduduk kini mencecah 57.9 peratus dan MCMC yakin bahawa sasaran 80 peratus menjelang hujung tahun ini boleh dicapai.
Walaubagaimanapun, beliau berkata penggunaan rangkaian 5G masih rendah setakat Mac lepas dengan hanya 1.2 juta pengguna atau 3.1 peratus pengguna melanggan Internet 5G. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!