Pendekatan holistik perlu bagi tangani serangan siber- Fahmi

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, satu pendekatan keselamatan siber yang holistik diperlukan merangkumi orang ramai, proses dan teknologi dalam usaha menangani isu serangan siber di negara ini.

Beliau berkata justeru, fokus hendaklah dialih daripada cuba mencegah serangan siber sepenuhnya kepada menyusun strategi serta meminimumkan impak apabila ia berlaku.

Katanya, secara purata, Malaysia mencatat 84 juta serangan siber sehari pada suku keempat 2022.

Fahmi berkata, serangan siber itu termasuk penipuan, taktik kejuruteraan sosial, pancingan data, perisian hasad/perisian tebusan, nafi khidmat dan pengintipan siber.

"Kerugian kewangan dan kerosakan reputasi yang disebabkan oleh Internet serta penipuan secara dalam talian, perisian tebusan dan kes peras ugut adalah besar.

"Adalah jelas bahawa tiada organisasi yang boleh mendakwa 100 peratus selamat dalam landskap ancaman yang semakin berkembang ini,” katanya ketika berucap pada Persidangan Surf’s Up: A Digital Literacy and Online Safety di sini pada Khamis.

Beliau juga menggalakkan pengamal dan pengguna dalam talian untuk lebih bertanggungjawab dalam landskap siber yang semakin berkembang dengan mendidik diri sendiri serta mengguna pakai amalan digital yang selamat.

Fahmi dan timbalannya, Teo Nie Ching turut menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Keselamatan Digital oleh TikTok dengan diketuai Content Forum yang membolehkan kedua-dua platform berganding bahu Mempertingkat keselamatan dalam talian.

Melalui ikrar itu, organisasi terbabit komited untuk mengutamakan kesejahteraan pengguna, melaksanakan dasar sederhana yang berkesan dan terus berusaha mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat.

"Ini adalah kali pertama platform seperti TikTok komited ke arah mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat dan saya harap platform media sosial lain akan mengikutinya.

"Dengan ini kita mampu menyelesaikan masalah seperti penipuan, berita palsu dan penyebaran maklumat tidak benar supaya kita boleh menjadi #SaferTogether,” kata Fahmi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!