Jangan 'hukum' T20, cari jalan tambah hasil negara
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mencari alternatif pembiayaan penjanaan hasil yang tidak bergantung kepada sistem hutang sebagai langkah jangka panjang untuk tidak 'menghukum' mana-mana pihak dengan penarikan subsidi yang dinikmati selama ini.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, Malaysia perlu menerokai kaedah agar hasil diperoleh kerajaan tidak terjejas dengan komitmen untuk melunaskan hutang negara.
Ia sekali gus boleh disalurkan untuk program-program yang dirancang demi membantu golongan rentan tanpa perlu menarik sebahagian peruntukan subsidi yang telah diberikan kepada rakyat.
"Seperti konsep ekuiti Proton Holdings Berhad yang mampu melonjakkan Proton tanpa perlu berhutang apabila melibatkan perkongsian modal.
"Satu contoh mudah, kita lihat projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek laluan Mass Rapid Transit (MRT), ia dibiayai melalui hutang. Jika tak bayar hutang, boleh tergadai tanah dan fasiliti tersebut.
"Daripada bersikap mahu menghukum mana-mana pihak tertentu, saya melihat keperluan kerajaan cuba mencari idea atau menjana hasil yang tidak bergantung kepada sistem hutang," katanya pada program Sinar Live membincangkan topik 'Apa dosa T20', disiarkan secara langsung pada Khamis.
Kerajaan sedang mengkaji semula pemberian subsidi antaranya melibatkan tarif elektrik dan juga petrol kepada golongan T20 demi penjimatan dalam usaha membantu golongan rentan.
Golongan terjejas melihat langkah itu sebagai 'hukuman' tidak adil kepada golongan yang banyak menyumbang kepada hasil negara melalui bayaran cukai pendapatan mereka.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, sumbangan T20 adalah perkara yang tidak boleh dinafikan meskipun kadar cukai ditetapkan di negara ini masih rendah berbanding beberapa negara lain.
Katanya, jika keadaan terlalu menekan T20, risikonya mereka mungkin akan mencari jalan untuk tidak mengisytiharkan pendapatan termasuk menyimpan di bank-bank luar negara.
"Banyak kaedah yang tidak dapat ditangani sepenuhnya... pengaliran wang keluar negara... dan itu yang kita harapkan tidak berlaku.
"Tapi T20 akan lebih kreatif untuk memastikan mereka menangani kemungkinan kenaikan kos seharian mereka," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, hasrat kerajaan dalam memastikan jurang pendapatan rakyat dapat dikurangkan, boleh fahami dan diterima dengan lebih terbuka jika hasilnya dapat dibuktikan.
"Jika subsidi tarif elektrik untuk T20 ditarik, kemudian hasilnya sejumlah besar sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak menikmati kemudahan elektrik dengan teknologi maju, barulah golongan T20 ini rasa mereka juga telah menyumbang walaupun tak dapat menikmati subsidi.
"Yang penting adalah kerajaan perlu buktikan kemajuan... cakap saja susah nak percaya tapi kalau nampak hasil ia akan mengubah persepsi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!