Warga emas maut dipercayai dipukul anak perempuan

Seorang warga emas wanita maut dipercayai dipukul anak perempuannya di sebuah rumah di Tambun Tulang, Arau.- Gambar hiasan
Seorang warga emas wanita maut dipercayai dipukul anak perempuannya di sebuah rumah di Tambun Tulang, Arau.- Gambar hiasan
A
A
A

ARAU - Seorang warga emas wanita berusia 74 tahun maut dipercayai dipukul anak perempuannya dalam kejadian pada awal Khamis di sebuah rumah di Tambun Tulang di sini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi dalam kenyataan memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar telah menerima panggilan telefon daripada petugas Hospital Tengku Fauziah pada 5.30 pagi berhubung insiden itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pihak hospital menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan wanita itu disahkan meninggal dunia pada 4.30 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada kedua-dua mata, dahi, telinga kanan dan sedikit kesan luka pada jari kaki kiri.

Ahmad Mohsin berkata, mayat warga emas itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah dan pemeriksaan lanjut menemukan kesan lebam pada dahi, ubun kepala serta lidah mangsa manakala tulung rusuknya patah.

Beliau berkata, punca kematian belum diketahui dan masih menunggu keputusan makmal.

Katanya, anak perempuan mangsa yang berumur 34 tahun membuat pengakuan telah memukul warga emas itu menggunakan tangan di bahagian muka dan kepala pada 9 pagi semalam.

Ahmad Mohsin berkata, hasil temu bual mendapati suami suspek, juga berusia 34 tahun, turut terlibat dalam kejadian itu berdasarkan keterangan yang meragukan.

Beliau berkata, suspek mendakwa punca pertengkaran kedua-dua beranak bermula apabila anak perempuan mangsa tidak tahan dan terlampau tertekan dengan karenah warga emas itu yang mengalami strok di bahagian badan sebelah kiri.

"Kedua-dua suspek tidak mengaku membunuh si mati dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ahmad Mohsin berkata polis akan membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kangar pada Jumaat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!