Bantu pihak berkuasa banteras jenayah hidupan liar
RAKAN Merak Jalanan beritahu, membanteras jenayah hidupan liar antara pengalaman paling mencabar disertainya.
Bukan apa, katanya, usaha menumpaskan satu persatu jenayah pemburuan haram itu sangat mencabar kerana anggota operasi yang perlu mengerah kudrat di dalam hutan.
Bercerita tentang penugasan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di dalam hutan, kemahiran membaca arah laluan sangat penting untuk dipraktikkan sepanjang operasi ini.
Tiada akses telefon bimbit, faktor cuaca serta muka bumi selain risiko berdepan binatang liar antara cabaran terbesar operasi ini.
Anggota operasi membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ibarat sudah lali dengan cabaran ini.
Katanya, memikul beg berisi kelengkapan selain bermalam di dalam hutan hingga berminggu lamanya bagai sudah sebati dalam jiwa.
Biar pun berdepan pelbagai liku, banyak kejayaan direkodkan petugas OBK termasuklah menahan pemburu haram, rampasan jerat dan senjata selain rampasan hidupan liar termasuk spesies burung dan anggota badan binatang.
Buktinya, PDRM merekodkan 255 kes dengan nilai rampasan mencecah RM29 juta dengan 293 tangkapan menerusi OBK sejak tahun lalu hingga April.
Perhilitan pula mencatatkan kejayaan tangkapan 33 individu dengan nilai rampasan berjumlah RM6.8 juta bagi tempoh empat bulan tahun ini setakat April.
Masyarakat perlu bersama menyokong usaha menyelamatkan khazanah negara daripada ‘diratah’ penyangak-penyangak yang hanya memikirkan keuntungan sahaja.
Merak Jalanan harap agar rakyat salurkan sebarang aduan mengenai jenayah hidupan liar kepada pihak berwajib agar tindakan selanjutnya dapat diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!