Sorok 156 kilogram gula, peniaga berdepan tindakan

Pasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping berjaya menemui 156kg gula yang disorok di sebuah kedai runcit di Taiping pada Khamis. - Foto ihsan KPDN Perak
Pasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping berjaya menemui 156kg gula yang disorok di sebuah kedai runcit di Taiping pada Khamis. - Foto ihsan KPDN Perak
A
A
A

TAIPING - Seorang peniaga bakal berdepan tindakan undang-undang selepas dikesan menyembunyikan 156 kilogram gula bernilai RM446 di sebuah kedai runcit di Taman Kaya di sini pada Khamis.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 11 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping selepas menerima aduan orang awam.

"Berdasarkan aduan itu, peniaga terbabit telah menyorok barang kawalan tersebut selain mengenakan syarat untuk setiap pembelian gula kepada pelanggannya.

"Satu penyamaran sebagai pembeli dilakukan, pegawai ini membeli beras dan juga meminta gula namun, pekerja premis menyatakan bahawa gula habis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pegawai KPDN menjalankan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berikutan tindakan peniaga menyorok gula di premisnya di Taiping. - Foto ihsan KPDN Perak
Pegawai KPDN menjalankan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berikutan tindakan peniaga menyorok gula di premisnya di Taiping. - Foto ihsan KPDN Perak

Menurut beliau, pihaknya telah membuat pemeriksaan dan meminta peniaga terbabit melakukan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Hasilnya sebanyak 156kg gula pasir putih bertapis kasar yang tidak diisytiharkan dijumpai di premis tersebut dan disita untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu selain badan korporat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Kamalludin mengingatkan peniaga agar tidak mengenakan apa-apa syarat dalam pembelian dan menyorok barang kawalan selain meminta orang ramai melaporkan kegiatan itu kepada KPDN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!