JDT mahu manfaatkan aksi berdepan Penang FC
AKSI berdepan Penang FC bagi saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu perlu dimanfaatkan sebaiknya kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memastikan momentum kemenangan pasukan itu berterusan.
Pendapat itu disuarakan pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari yang mahu kesebelasan pemain memberikan aksi terbaik berdepan skuad Harimau Kumbang itu yang pastinya akan beraksi penuh bersemangat di depan penyokong sendiri.
“Biarpun baru sahaja menewaskan mereka (Penang FC), dalam saingan Piala FA minggu lalu, namun kali ini kita akan berdepan mereka sekali lagi dalam saingan Liga Super.
“Dua pertandingan berbeza, namun fokus kita tetap sama. Kita juga telah menyaksikan video mengenai mereka dan mendapati mereka memiliki ramai pemain yang berkualiti, berbahaya dari segi set-piece.
“Oleh itu kami menjangkakan satu lagi perlawanan yang sukar untuk ditempuh, namun kami bersedia.
Kami hormati mereka kerana bola sepak sebenarnya bukannya satu permainan yang mudah,” katanya.
Untuk rekod, JDT menang 5-0 ke atas Penang FC dalam saingan suku akhir Piala FA minggu lalu.
Mengulas mengenai kesebelasan yang bakal beraksi, Solari berkata, pihaknya sedang melakukan penggiliran pemain berikutan ramai pemain yang menunjukkan mereka sentiasa bersedia untuk diturunkan.
Katanya, situasi itu dilihat sebagai satu perkembangan yang baik, namun agak sukar untuk menamakan kesebelasan utama pasukan.
“Ia bukan mudah untuk kita namakan kesebelasan utama kerana kita juga melakukan penggiliran pemain...tambahan pula untuk beraksi di tempat lawan.
“Bagaimanapun ketika ini ramai dalam kalangan pemain kelihatan bersedia untuk beraksi dan diharapkan sesiapa juga diturunkan dapat memberikan aksi yang terbaik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!