Pesara tentera berjaya dengan bantuan RISDA
Menerusi bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan, Mohd Azman raih pendapatan lumayan
KAMPAR - Seorang pesara tentera kini mampu meraih pendapatan lumayan setiap sebulan dengan menjadikan minatnya menternak lembu dan kambing sebagai sumber pendapatan selepas meninggalkan bidang ketenteraan kira-kira lima tahun lalu.
Usahawan, Mohd Azman Nawawi, 47, mula mengambil alih getah milik kedua ibu bapanya berhasrat meneroka bidang ternakan di tanah seluas satu hektar di Kampung Bukit Pekan, di sini.
"Dua tahun pertama, saya membuat persiapan untuk memulakan bidang penternakan dengan membela lapan lembu tanpa sebarang perancangan kukuh.
"Saya terbaca dalam media sosial berhubung inisiatif yang disediakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), barulah saya tahu agensi ini sedia membantu kami mencapai impian untuk menjadi usahawan," katanya.
Keazaman yang tinggi dan hasil bimbingan berterusan RISDA, bapa kepada dua anak itu kini menternak 67 lembu, 98 kambing dan 25 biri-biri.
"Sepanjang tempoh itu, RISDA memberi peluang untuk menambah nilai diri berikutan harga getah yang tidak menentu sambil melihat keperluan semasa dalam industri sekuriti makanan.
"Saya mula menternak lembu dan RISDA membantu baik pulih kandang, membina pagar baharu, menggantikan dawai 'cyclone fencing' untuk kerja kekemasan, seekor lembu dara baka LID, batu garam dan papan tanda bernilai RM20,000 menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET)," katanya.
Menurut bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, bidang itu terus dikembangkan dengan menternak kambing dan biri-biri di bawah syarikatnya, Man Kampoo Enterprise.
"Saya mengikuti latihan pendek bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Pusat Latihan RISDA di Slim River sebelum memberi idea untuk saya meneroka produk hiliran di samping ternakan sedia ada.
"Pengurusan tinja dijadikan baja kompos dan baja organik untuk tanaman napier seluas 2.4 hektar yang diusahakan untuk makanan ternakan. Rantaian ini berterusan ini bukan sahaja mengurangkan kos tapi menghasilkan produk yang baik dan berkualiti," katanya.
Mohd Azman berkata, gabungan kaedah 'total mixed ration' (TMR) dan silaj berjaya menjimatkan kos makanan untuk ternakannya.
"TMR dipelajari daripada JPV dan silaj di bawah bimbingan RISDA. Jadi, makanan tambahan ternakan ini diproses sendiri malah ia mendapatkan permintaan tinggi hingga terjual sekitar satu tan setiap hari.
"Tidak berakhir di sini, RISDA turut mengajar pembuatan 'effective microorganism' (EM), cecair yang membantu dalam penghasilan silaj dan membaiki pH tanah yang baik untuk tanaman selain mengurangkan bau kawasan kandang," katanya.
Tambahnya, RISDA telah berjaya membimbing usahawan untuk meningkatkan produktiviti dalam apa jua bidang dan inisiatif yang disediakan itu boleh dilayari di laman sesawang www.suararisda.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!