Suami isteri direman kes bunuh warga emas

Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang pada Khamis. - Foto Awani
Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang pada Khamis. - Foto Awani
A
A
A

KANGAR - Sepasang suami isteri direman selama tujuh hari (2 hingga 8 Jun) bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang pada Khamis.

Kedua-dua suspek berusia 34 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira 10.25 pagi tadi dan perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Bernama melaporkan seorang anak perempuan dipercayai membunuh ibunya berusia 74 tahun di rumah mereka pada 4.30 pagi.

Mangsa Rashidah Chong mengalami kesan lebam pada kedua-dua belah mata, dahi, telinga kanan, kepala, lidah serta patah tulang rusuk. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!