City waspada ancaman United
MANCHESTER City tidak boleh memandang mudah aksi final Piala FA di Wembley pada Sabtu kerana sedar Manchester United mampu menyekat misi The Citizens untuk meraih treble pada musim ini.
Pengendalinya, Pep Guardiola memberi amaran bahawa The Red Devils mampu memadam impian besar mereka jika para pemain leka dan hilang fokus pada aksi penting itu.
Malah jurulatih itu masih dihantui mimpi ngeri ketika City tewas 1-2 di Old Trafford pada Januari, selain keputusan mengejut ketika United membenam Chelsea 4-1.
“Saya lebih fokus kepada United. Saya melihat perlawanan mereka menentang Chelsea. Saya benar-benar kagum dan saya telah menyemak apa yang mereka lakukan kepada kami dalam perlawanan di Old Trafford.
“Kita kena berhati-hati. Bagaimanapun, saya akan berhati-hati tetapi selepas Khamis dan perlawanan mereka baru-baru ini, kami akan menyediakan yang terbaik yang kami boleh,” katanya.
The Citizens hadir di Wembley dengan impian memburu gelaran treble - Piala FA dan trofi Liga Juara-Juara selepas memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu.
Selepas berdepan musuh ketat United dalam perlawanan akhir Piala FA, City kemudiannya akan bertandang ke Istanbul untuk menentang Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada 11 Jun.
Tumpuan utama Guardiola minggu ini ialah United, yang boleh menghalang percubaan kelab itu untuk mencontohi kejayaan treble bersejarah jiran mereka pada 1999.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!