Majlis perkahwinan pewaris takhta Jordan berlangsung meriah
MAJLIS perkahwinan pewaris takhta Jordan, Putera Hussein, berlangsung penuh meriah di Amman pada Khamis.
Putera berusia 28 tahun itu yang dinamakan sebagai pewaris takhta oleh bapanya, Raja Abdullah, pada 2009, mengahwini arkitek dari Arab Saudi, Rajwa Al Saif, 29 tahun, yang berasal dari keluarga terkemuka dan mempunyai hubungan dengan keluarga diraja negaranya sendiri.
Pengantin perempuan memakai gaun putih elegan, tiba di Istana Zahran dalam Rolls-Royce Phantom V 1968 yang ditempah khas. Putera mahkota tiba lebih awal dengan pakaian seragam tentera penuh istiadat dan pedang bertali emas.
Jordan bergantung kepada sokongan Barat untuk memantapkan ekonominya, salah satu daripada penerima bantuan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah per kapita terbesar dunia, dan pemerhati berharap perkahwinan itu juga akan membawanya lebih dekat dengan kuasa besar serantau di sempadan selatannya.
Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman, antara yang dijemput namun tidak dapat hadir. Bagaimanapun, meja-meja jamuan di majlis resepsi dipenuhi keluarga diraja Eropah dan Asia serta tokoh-tokoh kanan AS, termasuk Wanita Pertama AS, Jill Biden dan Putera dan Puteri Wales, William dan Kate.
Perkahwinan itu juga merupakan satu peristiwa penting dalam laluan Putera Hussein ke arah monarki, dengan pegawai dan orang dalam berkata, Raja Abdullah berasa lebih yakin bahawa kestabilan negaranya kini akan diperkukuh.
Beberapa kilometer jauhnya, orang ramai yang berkumpul di sebuah amfiteater Rom purba menyaksikan pasangan itu memeterai ikrar dan bertukar cincin pada skrin lebar yang disediakan untuk majlis itu. Mereka mengibarkan bendera dan bersorak kegembiraan selepas majlis selesai.
Samara Aqrabawi, 55 tahun, yang menonton siaran langsung bersama anak perempuannya berkata, majlis itu lebih mengagumkan daripada yang dia bayangkan.
"Saya pasti semua ibu dan bapa di Jordan, dan di dunia, merasai kegembiraan Raja dan Permaisuri," katanya.
“Ini adalah hari yang penting kerana beliau adalah bakal raja kita,” kata Ahmad al-Masri, 18 tahun, yang hadir bersama keluarganya.
Sebelas juta rakyat Jordan menyaksikan bagaimana putera mahkota itu semakin terkenal beberapa tahun kebelakangan ini apabila beliau semakin kerap menyertai bapanya dalam penampilan umum.
Putera Hussein, yang disahkan bakal pewaris takhta ketika berusia 15 tahun, merupakan lulusan Universiti Georgetown di AS.
Turut menganggotai pasukan tentera, beliau pernah mendapat pengiktirafan global apabila muncul berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Rajwa pula menerima ijazah seni bina dari Universiti Syracuse di New York pada 2017.
Beliau turut mempunyai kelulusan dari sebuah institusi fesyen di Los Angeles, fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, Arab dan Perancis, serta dilaporkan gemar aktiviti seni dan menunggang kuda. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!