Pengarah syarikat mohon batal kes rasuah RM7.5 juta
KUALA LUMPUR - Pihak Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bahawa satu bantahan awal untuk membatalkan tuduhan menawar rasuah RM7.5 juta kepada seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk, bagi faedah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa, berhubung konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL), pada 2022.
Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh memfailkan notis tersebut menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Sesyen di sini, pada 31 Mei lalu.
Semasa prosiding di hadapan Hakim Suzana Hussin, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Hamid Shaikh berkata, notis itu dihantar melalui e-mel pada Rabu.
Beliau berkata, setelah meneliti pertuduhan terhadap anak guamnya, pihak pembelaan mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat.
"Pertuduhan terhadapnya juga gagal menzahirkan suatu kesalahan di bawah undang-undang dan menyebabkan pertuduhan tersebut tidak berasas.
"Oleh demikian, kami ingin memberi notis kepada pihak pendakwaan dan mahkamah bahawa kami akan membangkitkan bantahan awal berkaitan pertuduhan itu pada tarikh sebutan yang akan datang," katanya.
Beliau berkata, pertuduhan tersebut tidak menyatakan salah satu elemen penting bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009.
Selain itu katanya, salah satu butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan juga tidak ditunjukkan di dalam pertuduhan tersebut.
Ia sekali gus katanya, gagal mematuhi peruntukan Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan pendakwaan telah menerima notis berkenaan.
Selain itu beliau berkata, sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak tertuduh, maka pihaknya mohon tarikh baharu prosiding untuk menyerahkan sebahagian lagi dokumen berkenaan.
Suzana kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan permohonan bertulis pada atau sebelum 19 Jun manakala 3 Julai untuk menjawab notis berkenaan.
"Pada 18 Julai pula ditetapkan untuk klarifikasi atau keputusan, serentak dengan sebutan kes tersebut," katanya.
Pada 5 April lalu, tertuduh berusia 49 tahun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menawarkan RM500,000 setahun selama tempoh 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun.
Ia didakwa bagi faedah Annuar sebagai dorongan mempercepatkan proses pengambil alihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh Hydroshoppe di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob, Mahadi memohon kes rasuah terhadap Abdul Hamid Shaikh dan pertuduhan terhadap syarikat Hydroshoppe dibicarakan secara bersama di hadapan Suzana.
Bagaimanapun, Amer Hamzah membantah permohonan itu dan memohon ia difailkan secara bertulis berserta afidavit sokongan.
“Bagi makluman mahkamah, pembelaan juga memohon pertuduhan ke atas syarikat itu ditangguhkan, sementara menunggu pelupusan kes Abdul Hamid Shaikh,” katanya.
Rozina kemudian menetapkan 5 Julai ini untuk prosiding pendengaran bagi kedua-dua permohonan.
“Pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan permohonan itu pada atau sebelum 12 Jun depan.
"Pihak-pihak perlu menjawab isu tersebut dalam masa 10 hari iaitu 22 Jun," katanya.
Pada 5 April lalu, syarikat itu didakwa bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh, menawarkan suapan, RM500,000 bagi tempoh sama kepada individu serupa untuk faedah Annuar selaku menteri, dengan niat memperoleh perniagaan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur, di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 17A(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia dapat dinilai atau RM1 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!