Waris Sulu mungkin diperguna negara barat - Azalina

Azalina (tengah) mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Jumaat.
Azalina (tengah) mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Waris Sulu mungkin dipergunakan negara barat bagi menuntut kerajaan Malaysia membayar tuntutan tidak masuk akal mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, waris Sulu menuntut bayaran sebanyak AS$16 bilion atau bersamaan RM73.46 bilion termasuk caj tuntutan daripada Malaysia.

"Saya dimaklumkan dua tiga hari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menerima surat daripada peguam waris Sulu menulis surat yang amat biadab, mendakwa mereka bukan sahaja ada hak ke atas Sabah malah berhak ke atas tuntutan dari Malaysia.

"Tuntutan sebanyak AS$14.92 bilion (RM68.50 bilion) kini meningkat kononnya dikenakan faedah dan kini berjumlah AS$16 bilion (RM73.46 bilion).

"Surat peguam waris Sulu itu sudah dijawab Peguam Negara yang menyatakan jangan memandang rendah keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam berdaulat dan merdeka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut mempersoalkan tindakan waris Sulu tidak membuat tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda sebaliknya memilih untuk menggunakan Mahkamah Timbang Tara Komersial.

"Saya cabar mereka (waris Sulu) jika betul nak tuntut dari segi hak kononnya ini (Sabah) kawasan dan hak mereka, pergilah tuntut di ICJ.

"Jadi sebenarnya saya melihat ini sebagai satu taktik untuk mereka dapat duit daripada Malaysia dengan menggunakan platform undang-undang perniagaan menerusi Mahkamah Timbang Tara Komersial.

"Saya melihat waris Sulu ini dipergunakan oleh segolongan tertentu di negara barat hanya untuk proses menuntut Malaysia membayar duit kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata, kerajaan akan meneliti keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang akan membuat keputusan 'partial award' berhubung tuntutan waris Sulu.

"Saya maklumkan barisan peguam, jika waris Sulu kalah dalam tuntutan mereka, Malaysia perlu tuntut kos supaya bayar balik ganti rugi kos kita melantik peguam antarabangsa yang begitu tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!