Nur Izzuddin, Sze Fei mahu tampil lebih garang
PEMAIN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei akan memanfaatkan peluang kedua bersama Nur Izzuddin Rumsani dengan menampilkan aksi lebih 'garang' dalam kejohanan selepas ini.
Sze Fei percaya pengalaman sebelum ini telah mematangkan kedua-dua pemain itu dan beliau bertekad untuk memastikan gandingan mereka lebih 'menjadi' kali ini.
Tanpa mendedahkan siapa yang memulakan langkah untuk bersatu kembali, Sze Fei berkata detik penyatuan semula dengan Nur Izzuddin bermula minggu lepas dan beliau gembira segalanya dapat dinoktahkan minggu ini.
"Siapa mula dulu itu tak penting (mahu bersatu kembali), yang penting kita berjuang sama-sama.
"Fokus utama kami adalah Sukan Olimpik 2024, saya rasa keserasian dengan Nur Izzuddin sudah bagus kerana kami sudah berpasangan lama...Memandangkan kita ada sasaran sama, kita akan cuba," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Bukit Kiara pada Jumaat.
Sze Fei pada masa sama berharap beliau dapat menambah baik aspek komunikasi bersama Nur Izzuddin demi memastikan tidak berlaku lagi pertelingkahan akibat salah faham antara mereka.
Pemain berusia 25 tahun itu juga sangat menghargai restu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk beliau dan Nur Izzuddin kembali digandingkan, empat bulan selepas mengumumkan perpisahan mereka.
Sejak menjuarai Terbuka Jerman 2022, pasangan beregu itu dilihat bergelut untuk mengekalkan konsistensi, termasuk tersingkir daripada pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka India, awal tahun ini.
BAM kemudian melakukan rombakan terhadap tiga beregu negara selepas Nur Izzuddin nekad untuk berpisah dengan Sze Fei atas alasan hilang kepercayaan.
Situasi itu menyaksikan Muhammad Haikal Nazri yang sebelum ini bergandingan bersama Wan Muhammad Arif Wan Junaidi sejak 2019 terpaksa dipecahkan bagi memberi laluan kepadanya bergandingan bersama Nur Izzuddin.
Wan Muhammad Arif pula dipasangkan dengan Yap Roy King manakala Sze Fei membentuk gabungan bersama Choong Hon Jian.
Sze Fei berkata beliau turut memohon maaf kepada Hon Jian yang mungkin kecewa dengan keputusan itu.
Sejak digandingkan Mac lepas, Sze Fei-Hon Jian hanya pernah bermain bersama dalam tiga kejohanan dengan pencapaian terbaik mereka naib juara Cabaran Antarabangsa Thailand 2023.
Selain juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan naib juara Masters Malaysia 2023, Man Wei Chong-Tee Kai Wun merupakan antara pasangan berpotensi untuk ke Paris tahun depan.
Setiap negara boleh menghantar dua wakil bagi setiap acara beregu sekiranya menghuni ranking lapan teratas manakala hanya satu wakil sahaja dibenarkan jika berada di ranking kesembilan hingga ke-50 dalam peringkat kelayakan ke Sukan Olimpik yang bermula 1 Mei lepas hingga 28 April tahun depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!