GEG: Jangan remehkan pandangan satu juta rakyat Malaysia - MVIA

Rizani
Rizani
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh meremehkan pandangan lebih sejuta rakyat Malaysia yang menolak pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG) dan cadangan mengharamkan penggunaan produk vape untuk generasi akan datang yang mencapai umur dewasa nanti.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, ia berdasarkan satu petisyen yang dijalankan secara dalam talian oleh Malaysia Bersuara baru-baru ini yang berjaya mengumpulkan lebih satu juta tandatangan tanda tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Menurutnya, jumlah itu bukanlah sedikit dan turut mempersoalkan usaha untuk meneruskan tindakan drastik yang akan menjejaskan industri.

“Larangan yang dikenakan bukan sahaja akan memberi kesan kepada rantaian industri, tetapi kepada seluruh ekosistem yang terlibat secara tidak langsung termasuk peruncitan, pengilangan, logistik, pergudangan dan penawaran pekerjaan.

“Industri vape baru sahaja dibenarkan untuk beroperasi secara sah. Polisi ini pula dikenakan dan ia seumpama meletakkan satu tarikh untuk industri dilarang sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Rizani, polisi itu juga akan membantutkan perkembangan industri.

Katanya, baru-baru ini terdapat pengumuman pelaburan daripada syarikat pelabur besar dari China di Melaka oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menjadi sebahagian daripada tujuh projek bernilai RM3.5 bilion.

Bagaimanapun katanya, polisi sebegini hanya akan menakutkan pelabur dari luar negara dalam sektor industri vape negara dan menyebabkan mereka mengalihkan pelaburan ke negara lain.

“Ia akan membuatkan negara hilang peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan dan menyebabkan pelaburan dalam sektor ini semakin merosot.

“Kita faham kerajaan ingin membuat kawal selia ke atas industri tetapi pengharaman adalah tindakan yang terlampau drastik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!