Kes radang paru-paru jemaah haji Malaysia tidak serius

Syed Saleh (tiga dari kanan) menyambut jemaah yang tiba di Makkah pada pagi Jumaat.
Syed Saleh (tiga dari kanan) menyambut jemaah yang tiba di Makkah pada pagi Jumaat.
A
A
A

MAKKAH - Hanya 11 daripada 29 jemaah haji yang berada di Tanah Suci dirawat di hospital Madinah dan Makkah kerana mengalami radang paru-paru akibat cuaca panas yang berdebu.

Ketua Rombongan Jemaah Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keadaan semua pesakit itu adalah stabil dan tidak serius.

"Mereka tak perlu rawatan lanjut dan hanya perlu ambil ubat antibiotik. Jadi tak perlu gusar kerana pesakit dikawal dengan baik oleh pasukan perubatan kita.

"Kita juga mempunyai lima pakar respiratori, bekalan ubat-ubatan gred tinggi dan peralatan lengkap untuk merawat penyakit ini.

"Bagi penggunaan katil di wad pula, hanya 4 peratus digunakan untuk merawat pesakit radang paru-paru ini," katanya pada sidang media di Hotel Al Fajr Al Badea 5 di sini pada Jumaat pagi waktu tempatan.

Syed Saleh
Syed Saleh

Selain pesakit yang menghidap radang paru-paru, jemaah yang dirawat ketika ini ialah melibatkan sakit jantung, kecederaan, masalah kulit dan mereka semuanya berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata demikian mengulas satu mesej tular yang menyebut Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Abdul Jalil Ahmad yang mengatakan ramai jemaah haji memenuhi wad di Pusat Rawatan Madinah (PRM) disebabkan radang paru-paru.

Menurut mesej tular itu lagi, jemaah yang jatuh sakit adalah disebabkan tidak mengambil vaksin Pneumokokal dan Influenza.

Sementara itu mengulas mengenai suntikan jemaah haji, Syed Saleh berkata, terdapat satu suntikan wajib iaitu vaksin Pneumokokal manakala dua lagi ialah pilihan iaitu Influenza dan Pneumokokus.

"Kedua-dua suntikan ini adalah tidak diwajibkan namun sangat digalakkan buat jemaah.

"Ia bagi membina daya pertahanan badan bagi mencegah dan melindungi jemaah ketika menunaikan ibadat haji sebagaimana yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun ia bukan wajib, TH sentiasa menggalakkan pengambilannya melalui beberapa penerangan melalui kursus-kursus di tanah air.

"Pakar-pakar perubatan juga telah memberikan penerangan kepada jemaah haji tentang kepentingan vaksin tersebut," katanya.

Ketika ditanya sama ada TH merancang untuk menjadikan dua vaksin tambahan itu sebagai kewajipan, Syed Saleh berkata ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut selepas ini.

Beliau pada masa sama menasihati para jemaah haji yang masih belum berlepas ke Tanah Suci untuk mengambil dua suntikan tambahan bagi tujuan pencegahan.

Syed Saleh sebelum itu menyambut ketibaan kumpulan pertama seramai 279 jemaah haji penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan tiba jam 7.40 pagi waktu tempatan di Hotel Al Fajr Al Badea 5 di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!