Muda bersinergi bersama Rasuah Busters perangi rasuah

Hussamuddin (empat dari kanan) menyerahkan bahan kempen Rasuah Busters kepada Shah Fariq Aizal (tiga dari kiri) bersempena kunjungan delegasi Muda ke Karangkraf pada Jumaat.
Hussamuddin (empat dari kanan) menyerahkan bahan kempen Rasuah Busters kepada Shah Fariq Aizal (tiga dari kiri) bersempena kunjungan delegasi Muda ke Karangkraf pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Wilayah Persekutuan menjalinkan kerjasama secara rasmi dengan Rasuah Busters dalam agenda memerangi rasuah di negara ini.

Ketua Penerangannya, Shah Fariq Aizal Shah Ghazni berkata, Muda perlu dilihat sebagai sebuah parti yang bersifat inklusif dalam menjayakan kempen melawan rasuah dan pemilihan Rasuah Busters dilihat sangat bertepatan dalam menjayakan usaha berkenaan.

"Memang Muda antara matlamat perjuangannya adalah melawan rasuah, jadi kolabaratif ini saya lihat sangat tepat dan bersesuaian dengan 'jiwa' Muda.

"Kita bersama-sama melawan rasuah ke arah matlamat menjadikan Malaysia Tanpa Rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu, Muda melakukan kunjungan hormat terhadap Rasuah Busters di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Turut hadir Ketua Penerangan Muda Lembah Pantai Shuhana; Ketua Penerangan Muda Segambut, Sheryl Ho, Timbalan Pengerusi Muda Putrajaya, Abdul Rahman Khairuddin dan Timbalan Pengerusi Muda Wangsa Maju Wymann Liew.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin mewakili delegasi menyambut kehadiran mereka. Turut bersama Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Mengulas lanjut, Shah Fariq Aizal berkata, untuk usaha ke arah itu, Muda Wilayah Persekutuan akan mengadakan beberapa program dan aktiviti dengan Rasuah Busters.

Shah Fariq Aizal
Shah Fariq Aizal

"Seperti kita sedia maklum Rasuah Busters sudah mempunyai modul dan banyak aktiviti yang sudah mereka laksanakan.

"Jadi insya-ALLAH kita akan adakan program bersama misalnya bengkel anti rasuah dan program akar umbi juga, kita tambah sinergi lagi," tegasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, program-program yang berbentuk lebih santai dan menghiburkan akan dijalankan sebagai salah satu daya tarikan untuk menarik anak muda menyertai program anti rasuah.

"Untuk ke hadapan saya fikir bagi menarik minat mereka ini program yang lebih 'fun' boleh dijalankan, sebab saya fikir anak muda kurang berminat dengan program yang berbentuk terlalu 'berat'," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!