APG 2023: Sze Mei mahu skuad badminton Para kekal fokus

Jalur Gemilang dinaikkan seiring dengan lagu Negaraku ketika upacara menaikkan bendera pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 di Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo, pada Jumaat. - Foto Bernama
Jalur Gemilang dinaikkan seiring dengan lagu Negaraku ketika upacara menaikkan bendera pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 di Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD badminton para negara dinasihatkan untuk kekal fokus sekiranya mahu menghadirkan kilauan pingat menerusi acara berpasukan lelaki, pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Phnom Penh, esok.

Jurulatih pasukan Woon Sze Mei berkata, Malaysia yang diundi bersama Thailand, harus mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi separuh akhir, apabila hanya empat negara yang mengambil bahagian pada edisi ke-12 ini.

Skuad berpasukan lelaki akan diwakili Muhammad Faris Ahmad Azri, Muhammad Fareez Anuar, Amyrul Yazid Ahmad Sibi, Mhd Amin Burhanuddin, Muhammad Zulfatihi Jaafar dan Muhammad Huzairi Abdul Malek.

"Pemain memang menunjukkan kesungguhan semasa menjalani latihan, namun mereka harus fokus ketika bertemu Thailand sebab kemungkinan dapat saingan sengit dari mereka. Saya cuma akan tentukan siapa yang bermain ikut kategori hanya pada esok.

"Walaupun ramai pemain baharu, namun mereka memang berbakat. Jadi kita kena cuba sehabis baik untuk melepasi peringkat separuh akhir dan ke final,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Sze Mei berkata, sekiranya mereka berjaya melepasi halangan tersebut, Malaysia akan bertemu sama ada juara bertahan Indonesia atau Vietnam pada aksi final.

Malaysia tidak menyertai acara badminton berpasukan para pada edisi lalu di Solo, Indonesia kerana tidak mempunyai bilangan pemain yang mencukupi.

Jurulatih yang telah berkhidmat selama empat tahun itu memaklumkan, Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam acara badminton berkerusi roda, yang julung kalinya dipertandingkan di APG.

Beliau menjelaskan Malaysia terus beraksi di pentas final bertemu Thailand esok, selepas hanya dua negara mengesahkan penyertaan dalam pentas berprestij Sukan Asia Tenggara itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!