Pearly-Thinaah yakin kekal prestasi terbaik di Terbuka Singapura
BEREGU wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah optimis dapat mengekalkan prestasi baik mereka pada Terbuka Singapura 2023 minggu depan.
Thinaah berkata, mereka tidak lagi memikirkan tentang apa yang berlaku di Kejohanan Masters Malaysia minggu lepas yang menyaksikan pasangan itu hampir merangkul kejuaraan di gelanggang sendiri, sebelum dikecewakan beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21, usai pertarungan satu jam 41 minit.
"Persediaan kami untuk Terbuka Singapura berjalan lancar pada ketika ini. Apa yang telah berlaku sudahpun berlalu, kami tak mahu memikirkan tentang Masters Malaysia lagi.
"Kami harap untuk perbaiki dari segi strategi, corak permainan dan (bermain) lebih agresif,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ditanya adakah mereka mampu merapatkan jurang dengan beregu di ranking lima teratas, pemain berusia 25 tahun itu berkata, mereka tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu dan hanya mahu menikmati permainan.
Meskipun tewas pada pusingan akhir Masters Malaysia, Pearly-Thinaah memenangi hati rakyat Malaysia dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan mereka, selain kental mengharungi empat perlawanan panjang yang mengambil masa secara total lima jam 54 minit.
Pasangan nombor 11 dunia itu mempamerkan aksi luar biasa apabila bertahan selama sekurang-kurangnya sejam bagi setiap perlawanan itu, bermula pusingan kedua hingga ke final, meskipun Pearly baru sembuh daripada influenza.
Juara Sukan Komanwel 2022 itu turut mencipta rekod tidak rasmi permainan rali terpanjang dengan 211 pukulan ketika menewaskan beregu Jepun Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto 21-18, 8-21, 21-19 dalam perlawanan satu jam 51 minit pada suku akhir.
Pearly-Thinaah akan membuka kempen Terbuka Singapura, yang akan bermula pada 6 hingga 11 Jun ini, dengan menentang Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!