Pusat Pertanian Temin jadi hab agropelancongan
JERANTUT - Jabatan Pertanian Negeri Pahang akan menjadikan Pusat Pertanian Temin di sini sebagai hab agropelancongan berasaskan tanaman anggur berikutan kemudahan dan potensi tanaman itu di sini.
Pengarahnya, Muhd Rizal Baharom berkata, usaha itu memberikan nilai tambah buat daerah itu yang turut dikenali dengan lokasi pelancongan popular dan durian damak.
"Pusat ini akan menjadi hab dengan kepakaran serta pengalaman oleh pengusaha anggur, Syed Norhaimi Syed Zin," katanya.
Beliau berkata demikian sempena kursus tanaman anggur buat julung kalinya di pusat tersebut pada Khamis yang dikendalikan oleh Syed Norhaimi sendiri.
Sementara itu, Syed Norhaimi berkata, seramai 10 peserta dari seluruh Pahang menyertai kursus sehari tersebut.
Ujarnya, peserta berpeluang mempelajari cara mengusahakan tanaman anggur menerusi modul yang disediakan berdasarkan pengalaman dan kepakarannya selama ini.
"Kita akan menjalankan lagi kursus selepas ini dan membuka penyertaan pada peserta luar Pahang pula.
"Saya gembira dan berpuas hati dapat menurunkan ilmu yang ada kepada peserta dan mereka boleh memanfaatkannya untuk mengusahakan tanaman anggur di tempat sendiri," katanya.
Mengulas perancangan pusat itu, beliau memberitahu, ia akan dibuka kepada orang ramai untuk jualan anggur yang dirancang pada awal tahun depan atau paling cepat hujung tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!