46 Orang Asli peluk Islam
KUANTAN - Seramai 46 penduduk Orang Asli dari Kampung Orang Asli Samut dan Simoi Lama, Lipis menerima hidayah apabila terbuka hati memeluk Islam secara beramai-ramai dalam majlis diuruskan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) cawangan Lipis, Selasa lalu.
Majlis syahadah itu disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman disaksikan penduduk kampung dan barisan urusetia.
Dr Asmadi berkata, majlis itu turut mendapat kerjasama Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA), Penggerak Masyarakat Orang Asli, guru briged dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, paling menarik, pengislaman itu turut melibatkan Batin Kampung Orang Asli Simoi, Bah Jong Kerang, 58, yang turut terbuka hati untuk menerima Islam bersama penduduk kampung.
"Bah Jong sendiri mengakui dia telah lama mengenal dan mempelajari mengenal Islam sebelum ini.
"Ketika itu dia belum bersedia sepenuhnya untuk menerima agama Islam sehinggalah hatinya terbuka dan melafaz syahadah pada majlis itu dengan kerelaan sendiri," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dr Asmadi berkata, pihak Muip akan terus mendampingi saudara baharu itu termasuk akan membantu mendirikan surau sementara untuk mereka menjalankan aktiviti agama.
"Usaha itu akan diselaraskan bersama NGO Daie Belantara.
"Insya-ALLAH saudara baharu kita terus istiqamah berpegang kepada ajaran Islam dan mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik," ujarnya.
Sementara itu beliau berkata, dalam tempoh Januari sehingga Mei tahun ini, pihak Muip telah menjalankan 142 aktiviti berkaitan dakwah dengan peruntukkan RM1.1 juta.
"Seramai 153 saudara baharu direkodkan di Pahang sepanjang Januari hingga April tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!