'Terima kasih setia ikuti Wacana Sinar Harian '- Ismail Adnan
SHAH ALAM - Hos Wacana Sinar Harian, Ismail Adnan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton di luar sana yang setia mengikuti program itu sehingga edisi ke-400.
Ismail yang mengacarakan platform kritis tersebut semenjak 2020 berkata, wacana berkenaan menjadi kesempatan buatnya untuk merungkai perbahasan dan isu yang berlaku di negara baik dari segi politik, ekonomi dan sosial.
Ujarnya, mengimbau kenangan semasa pandemik Covid-19 lalu, ia menjadi antara salah satu cabaran buatnya untuk mengendalikan program itu.
“Cabaran untuk kumpulan Wacana Sinar Harian adalah sewaktu pandemik Covid-19, ada cabaran untuk bersiaran secara langsung dari rumah dandari studio serta membawakan agenda -agenda nasional berkenaan memerangi pandemik tersebut.
“Tidak dilupakan, pengalaman semasa pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada Sinar Harian.
Ismail menambah, program Wacana Sinar Harian akan terus tampil menjadi platform informasi yang relevan kepada warga Malaysia.
“Kritikan yang istimewa hanya dari Wacana Sinar Harian,” jelasnya.
Program yang berlangsung pada 6 Jun ini akan menampilkan empat pemimpin utama politik negara iaitu Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Pusat, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu juga turut mengundang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Nor Azrina Surip.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!