ZPP peruntuk RM4.9 juta untuk Skim Inapan Kasih tahun ini

Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci SIK Zakat Pulau Pinang kepada Syahrul Nizam sambil diperhatikan oleh Amran (lima dari kiri).
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci SIK Zakat Pulau Pinang kepada Syahrul Nizam sambil diperhatikan oleh Amran (lima dari kiri).
A
A
A

KEPALA BATAS - Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan RM4.9 juta untuk Skim Inapan Kasih (SIK) bagi tahun ini.

Ia merangkumi 28 unit rumah telah dan akan dibina, 80 unit rumah dibaik pulih, manakala 50 unit rumah menerima Skim Pendawaian Elektrik Rumah Asnaf (SPERA).

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, SIK merupakan skim agihan ZPP yang meliputi skim baik pulih rumah serta skim bina rumah bagi asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang.

Menurutnya, selain daripada mengagihkan dana agihan zakat menerusi pelaksanaan projek bina rumah dan baik pulih rumah asnaf, ZPP juga menjalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan hasrat pemilikan rumah kondusif kepada golongan asnaf yang memerlukan.

"Inisiatif SIK Zakat Pulau Pinang ini dilihat dapat mengurangkan masalah pemilikan rumah dan dapat mendepani isu pemilikan tanah di Pulau Pinang terutama dalam kalangan asnaf.

"Saya percaya bahawa SIK Zakat Pulau Pinang ini telah menggambarkan keterangkuman efisiensi agihan ZPP yang disalurkan bagi menjamin perkara-perkara dharuriyyat di dalam kehidupan asnaf terutama asnaf fakir dan miskin di Pulau Pinang," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SIK dan Skim Baik Pulih Rumah di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini pada Jumaat.

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Tambah Amran, ZPP sangat menghargai bantuan dan kerjasama yang diberikan bagi memastikan pelaksanaan SIK dapat direalisasikan dengan efisien dan efektif.

"ZPP juga memohon agar kerjasama dan bantuan yang berterusan daripada pihak yang berkepentingan di Pulau Pinang untuk menyantuni para asnaf menikmati kehidupan yang lebih baik dan berdaya saing.

"Terima kasih kepada pembayar zakat kerana melaksanakan tanggungjawab menunaikan zakat di ZPP. Saya berharap lebih ramai individu dan syarikat korporat tampil menunaikan zakat bagi membantu kita meneruskan agenda penting membela golongan asnaf di negeri ini," tambahnya.

Pada majlis tersebut, seorang tukang kayu, Syahrul Nizam Zainon menjadi penerima SIK Zakat Pulau Pinang.

Sebelum ini, dia, isteri dan tiga anaknya hanya tinggal di dalam sebuah bangsal yang dibina sendiri.

Amran berkata, rumah tersebut dibina berdasarkan laporan dan siasatan oleh kakitangan ZPP terhadap kehidupan Syahrul Nizam.

"Syahrul Nizam telah menerima rumah Inapan Kasih Zakat Pulau Pinang yang berkeluasan 800 kaki persegi bernilai RM72,000. Rumah ini telah siap sepenuhnya pada 6 Disember tahun lalu.

"Selain itu, penerima kedua ialah Saiful Nizan Mohamad. Beliau telah menerima Skim Baik Pulih Rumah iaitu kita telah membina sebuah ruangan dapur dan tandas berserta bilik air baharu yang berkeluasan 200 kaki persegi.

"Jumlah keseluruhan baik pulih ini ialah RM22,000 dan siap sepenuhnya pada 29 Mac lalu," katanya.

Amran (tengah) dan Ahmad Zakiyuddin (kiri) menyerahkan replika kunci sebagai tanda menerima Skim Baik Pulih Rumah daripada ZPP.
Amran (tengah) dan Ahmad Zakiyuddin (kiri) menyerahkan replika kunci sebagai tanda menerima Skim Baik Pulih Rumah daripada ZPP.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin dalam ucapannya berkata, skim baharu perumahan ZPP yang bakal diperkenalkan dan kini dalam tempoh kajian ialah Skim Penyambungan Utiliti serta Skim Perumahan Guru KAFA dan Sekolah Agama Rakyat.

"Skim Penyambungan Utiliti adalah bantuan kos penyambungan meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) ke rumah asnaf yang masih berkongsi meter dengan rumah bersebelahan.

"Ia penting untuk mengelakkan risiko kebakaran apabila berkongsi meter TNB (overload) selain mengurangkan bacaan tarif (TNB dan PBA) akibat perkongsian meter.

"Sementara Skim Perumahan Guru KAFA dan Sekolah Agama Rakyat pula, ia sebagai penghargaan kepada jasa guru-guru ini dalam mengajar pendidikan fardu ain kepada anak-anak di Pulau Pinang. Bantuan yang diberikan dalam bentuk subsidi kecil untuk pembelian atau pembinaan rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!