Everest ajar cabaran sebenar

Ravichandran ketika ditemubual dlam rancangan MHI terbitan TV3 pada Jumaat.
Ravichandran ketika ditemubual dlam rancangan MHI terbitan TV3 pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Tahun ini adalah tahun pengajaran di mana kita bukan sahaja berjaya sampai ke puncak tetapi Everest juga mengajar kita cabaran sebenar bahawa untuk mendakinya bukan mudah,” kata pendaki solo negara, T Ravichandran.

Pendaki berusia 58 tahun itu berkata, berdasarkan pengalamannya, daripada 600 orang mendaftar, lebih 570 orang berputus asa sepanjang perjalanan mereka bergerak dari Kathmandu ke basecamp khemah 4 dan ke puncak.

“Setiap tahun dari 2006, 2007 dan tahun lepas, risiko adalah sesuatu yang boleh dijangka.

“Tapi tahun ini risiko di Gunung Everest agak tinggi dan kita kehilangan dua nyawa pendaki Malaysia, selain 18 nyawa pendaki dari negara lain berbanding tahun lepas cuma tiga orang,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 pada Jumaat.

Allahyarham Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest.

Seorang lagi pendaki yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari, 33, pula dikhuatiri hilang di kawasan pergunungan Everest ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi dunia berketinggian 8,848 meter itu.

Ravichandran berkata, risiko tahun ini agak tinggi, salah satu daripadanya adalah disebabkan perubahan cuaca yang sangat mendadak dan ia berkait dengan suhu pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia.

“Keadaan perubahan angin sangat cepat sekali gus menyebabkan risiko berlakunya perubahan suhu yang terlalu tinggi.

“Disebabkan itu ramai tahun ini yang terkena frostbite, iaitu satu risiko yang sudah kita jangka berbanding tahun lepas, dimana keadaan ini tidak berlaku langsung.

“Terdapat 500 pendaki tahun ini yang hampir kebanyakannya terpaksa menghadapi frostbite dan dikejarkan ke hospital terdekat,” katanya yang sudah empat kali menawan gunung tertinggi di dunia itu.

Mengulas lanjut mengenai persediaan pendaki negara sebelum ke Everest, beliau berkata, tahun 2023 diklasifikasikan sebagai cuaca yang sangat ekstrem, walaupun pendaki sudah mempunyai persiapan rapi tapi kali ini mereka terpaksa belajar pengalaman baharu.

“Diharap persiapan akan datang pasukan-pasukan akan lebih bersiap sedia dengan apa yang berlaku tahun ini.

“Salah satu aspek jag kita belajar adalah tentang risiko dan juga bagaimana kita nak sediakan perkhidmatan pasukan pertolongan cemas.

“Perkhidmatan pasukan pertolongan cemas tahun ini memainkan peranan yang besar untuk menyelamatkan ramai pendaki yang terpaksa menghadapi risiko-risiko tinggi.

“Tahun ini pasukan pertolongan saya dapat menyelamatkan saya dan juga pendaki lain, salah satu aspek yang sangat penting, kita tak boleh memperlekehkan kebolehan pasukan ini menjalankan operasi menyelamat," jelasnya.

Tambahnya, pasukan itu mempunyai high-altitude rescue team manakala helikopter hanya boleh bantu setakat 7,000 meter tetapi apabila pendaki menghadapi masalah di 8,000 meter maka kita terpaksa membawa mereka turun.

“Jadi orang membawa turun ini adalah sherpa-sherpa yang berpengalaman yang sudah banyak kali ke puncak dan mereka ini harus bersiap sedia di khemah 2, bila sahaja ada masalah di puncak atau di bawah puncak atau khemah 4, kita akan kerah mereka untuk beri bantuan.

“Selalunya kami akan berkomunikasi menggunakan radio atau akan hantar sherpa yang ada pada kita untuk terus turun ke bawah sambil kita menunggu bantuan oksigen dan sebagainya.

“Mereka akan berkejar ke bawah untuk buat panggilan radio, membawa pasukan tambahan ke atas dan bawa turun ke paras di mana helikopter dapat mengambil pendaki turun ke 6,500 meter.

Tambahnya, jika cuaca buruk, helikopter tidak boleh datang dan ia bergantung kepada nasib disebabkan helikopter memerlukan cuaca yang sangat baik untuk datang membantu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!