'Hadi jangan guna cara kolot, jumud serang kerajaan'- Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas Perasmian Pameran 'Orientalism Paintings' di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas Perasmian Pameran 'Orientalism Paintings' di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat meminta Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang agar tidak menggunakan naratif kolot dan jumud, untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, Anwar menegaskan Abdul Hadi atau pembangkang harus menilai dari segi dasar kerajaan dan bukannya mengenai jumlah majoriti parti Islam atau bukan Islam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sebagai sebuah negara pelbagai kaum, dalam mengangkat penghayatan Islam, hak bukan Islam juga harus dipelihara bagi menjamin keamanan negara.

"Yang penting dasar, di mana dasar yang kita (kerajaan) tinggalkan Islam, yang kita khianat orang Melayu, di mana yang kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek-projek di mana? Ini yang patut kita nilai, jangan gunakan naratif kolot dan jumud,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan Atau Bayangan?’, di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini pada Jumaat.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Hadi, yang mendakwa PH tidak sesuai menjadi kerajaan dan memimpin negara kerana gabungan politik itu dikuasai parti bukan Islam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak mahu rakyat dipesongkan dengan sentimen seperti yang didakwa Abdul Hadi.

Menurutnya kejayaan sesebuah kerajaan ialah mempertahankan Perlembagaan; meningkatkan makna budaya, bahasa dan Islam; membasmi kemiskinan dan menjaga keharmonian antara kaum.

Beliau berkata, menghentikan amalan menggunakan kuasa atau kedudukan untuk merompak harta rakyat, juga perkara yang harus ditekankan kerajaan dan pembangkang.

"Kalau tengok naratif yang lama-lama dalam kalangan orang yang ada kes kalau ikut, kalau diteliti betul-betul dia takut untuk disiasat, kamu sudah ambil, pulangkan balik. Itu sahaja yang saya perlukan," katanya. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!