Aktiviti pemburuan lebih jejaskan biodiversiti - Fadillah
LONDON - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyelar pelobi dan kempen antiminyak sawit yang menyalahkan tanaman tersebut atas kemerosotan populasi orang utan, menyatakan aktiviti pemburuan memberikan ancaman yang jauh lebih besar kepada kehilangan biodiversiti berbanding perladangan kelapa sawit.
"Inilah kebenarannya: jumlah (orang utan) kekal kukuh pada 11,000 sejak lima tahun lepas. Sudah tiba masanya untuk menukar tumpuan kita,” katanya dalam ucaptama mengenai "Sustainable Trade and Responsible Business Practice in A New Global Area” pada International Sustainable Palm Oil Forum di sini pada Jumaat.
Fadillah, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, media barat perlu memberi perhatian kepada isu ini.
"Mari asingkan fakta daripada fiksyen dan berdepan dengan cabaran sebenar,” katanya pada forum itu anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific, yang menyaksikan penyertaan antara lainnya kumpulan pelobi Parlimen, masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
"Ia bukanlah suatu keburukan alam sekitar sepertimana yang dilabelkan. Sebaliknya, realitinya adalah bukti jelas kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) - amalan yang mesra (alam). Tidak seperti tanaman lain, pokok sawit bertindak sebagai penyelamat dengan menyerap karbon dioksida dan mengubah ladang-ladang kita sebagai sinki karbon.
"Ini bukan sekadar kata-kata saya (sebaliknya) Institut Penyelidikan Produk Hutan dan Perhutanan Jepun turut mengesahkan bahawa kelapa sawit mengatasi hutan semula jadi dari segi keupayaannya menyerap sehingga empat kali lebih banyak karbon dioksida. Oleh itu, apabila berbicara mengenai penjujukan karbon, minyak sawit jauh lebih tinggi daripada soya, minyak sesawi dan bunga matahari," katanya.
Malaysia komited usaha lestari, bukan cakap kosong
Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Malaysia kekal tegas dalam komitmennya terhadap usaha kelestarian dan pemuliharaan.
"Kita tidak pernah bersikap lepas tangan dalam melindungi soal biodiversiti. Daripada Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Taman Negara Pulau Penyu, Taman Negara Sipadan, Lembah Danum -- (kewujudan) projek-projek ini membuktikan lagi dedikasi kita dalam melindungi warisan semula jadi.
"Malah, kita bukannya bercakap kosong sebaliknya memang mengambil tindakan konkrit. Kementerian saya misalnya turut menerajui usaha pembentukan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGF),” katanya.
Fadillah menyifatkan yayasan tersebut jelas sebagai bukti sokongan padu Malaysia terhadap inisiatif pemuliharaan dalam industri minyak sawit.
"Komitmen kita terhadap alam sekitar ini tiada sempadan. MPOGCF ini bukan sekadar menumpukan aspek orang utan sebaliknya turut menjangkau bagi melindungi pelbagai spesies hidupan liar termasuk gajah pigmi yang comel di Sabah. Secara bersama, kita sebenarnya sedang melakukan realiti perubahan yang sebenar,” katanya.
Minyak sawit dan ekonomi
Jika diteliti, minyak sawit dan sektor komoditi tidak hanya memberi manfaat untuk alam sekitar tetapi turut berperanan sebagai nadi ekonomi.
Sejak bertahun lamanya, sektor tersebut menyumbang secara signifikan kepada usaha meningkatkan lagi taraf hidup rakyat dan mengurangkan kemiskinan.
Setakat ini, sektor komoditi menggaji hampir 450,000 orang pekebun kecil sama ada di kelompok persendirian atau pekebun kecil di tanah-tanah rancangan.
Pada 2022 sahaja, sektor agrikomoditi Malaysia mencatat nilai dagangan sebanyak RM268.1 bilion dengan imbangan perdagangan sebanyak RM146.5 bilion.
Pendapatan eksport daripada produk agrikomoditi mencecah RM207.3 bilion atau 13.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Di samping itu, 2022 juga menyaksikan sektor berkenaan menyumbang sejumlah RM83.8 bilion kepada KDNK, sekali gus membuktikan kepentingan peranannya dari segi pertumbuhan ekonomi jangka panjang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!