Pemuda lemas mandi di Sungai Pulai

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Pulai, Iskandar Puteri pada Rabu
Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Pulai, Iskandar Puteri pada Rabu
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pemuda lemas ketika mandi bersama-sama rakan di Sungai Pulai, Gelang Patah dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai pada jam 3.30 petang memberitahu mangsa yang berusia 38 tahun lemas di sungai terbabit.

"Unit skuda pihak bomba telah dipanggil sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bermula jam 4.15 petang.

"Mayat mangsa ditemukan pada jam 6.50 petang hari yang sama pada jarak 250 meter dari tempat mangsa lemas," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bedah siasat dilakukan pada Sabtu mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan berkata, seramai 10 anggota dari BBP Pekan Nanas dan BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.

"Operasi SAR mendapati mangsa dipercayai lemas kira-kira 7 meter dari tebing sungai. Mangsa ditemukan pada kedalaman 3 meter di dasar sungai. Mayat diserahkan kepada pihak polis dan operasi ditamatkan pada jam 7.55 malam," katanya.

Sebelum itu, video berdurasi 1 minit 57 saat tular di media sosial memaparkan mangsa terjun dari tebing sungai sebelum tenggelam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!