Gabungan Muhyiddin, Tun M untuk jatuhkan Anwar?
JOHOR BAHRU - Kesediaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin demi memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam dilihat mengulangi gabungan mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 2018 lalu.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pada PRU14, mereka (Mahathir, Muhyiddin) bergabung untuk menjatuhkan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Najib Tun Razak, kali ini gabungan tersebut tentunya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.
Bagaimanapun katanya, kehadiran Anwar sebagai tetamu kehormat di sidang pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), 9 Jun ini bersama-sama dengan pemimpin daripada 19 parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan membuktikan pertalian Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semakin akrab.
“Ini kali kedua dalam sebulan dua ini Anwar datang ke ibu pejabat UMNO, parti politik yang memperjuangkan agenda Melayu sebagai teras tujuan dan matlamat perjuangannya.
“Jika di pihak pembangkang, gandingan Muhyiddin dan Presiden Pas, Sri Abdul Hadi Awang... tetapi kini ditambah oleh Mahathir yang akan mengemukakan naratif nasional mereka iaitu Melayu dan Islam sebagai panji-panji perjuangan mereka.
“Justeru, apa pula panji-panji perjuangan Anwar, Ahmad Zahid dan pimpinan daripada 19 parti komponen Kerajaan Perpaduan? Mungkin naratif Kerajaan Perpaduan ialah Malaysia Madani? Jika ya, adakah falsafah itu (Malaysia Madani) dapat memberikan saingan kepada naratif Melayu Islam yang dibawa oleh PN termasuk dengan naskah Proklamasi Orang Melayu daripada Mahathir?” katanya di laman Facebooknya pada petang Jumaat.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak selain PRU16 empat tahun lagi, Hassan berkata, ia akan mewujudkan pertembungan antara dua blok politik yang dominan, Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dengan blok pembangkang Melayu, Islam.
Katanya, Anwar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pelbagai kaum dan DAP parti yang dominan dengan kaum Cina, terpaksa menerima hakikat faktor Melayu Islam begitu penting untuk survival politik mereka.
“Anwar (Ibrahim), secara solo selaku Perdana Menteri, mungkin lebih popular berbanding Muhyiddin, Ahmad Zahid ataupun Mahathir; namun Anwar dilihat masih tidak mempunyai cukup sokongan daripada pengundi Melayu Islam, tanpa sokongan daripada UMNO.
“Tetapi UMNO sekarang di bawah pimpinan Ahmad Zahid bukannya UMNO pada zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak kerana dilihat tidak mampu memperjuangkan nasib orang Melayu; apatah lagi untuk melindungi mereka (orang Melayu).
“Ini kerana nasib Presiden UMNO itu sekarang di mahkamah pun masih belum pasti. Bebas atau masuk ke penjara seperti yang dialami Najib?” katanya.
Sementara itu Hassan berkata, Anwar ketika ini dilihat semacam taksub kepada UMNO sehinggakan Lokman Noor Adam pun dilantik sebagai jurucakap politik bagi Kerajaan Perpaduan.
Malah, ada pihak yang mengaitkan Anwar kini terlalu condong ke arah UMNO untuk mendapatkan sokongan Melayu Islam melalui UMNO.
“Tidak hairanlah ketika ini jika ada orang yang mengingatkan kata-kata pepatah, adakah Perdana Menteri ke-10 (PMX), ini ibarat ‘belut pulang ke lumpur.’
“Bagaimana pula nasib PKR, DAP dan Parti Amah Negara (Amanah), yang mengibarkan panji-panji pelbagai kaum selama ini...a pakah semua itu boleh dipajak gadaikan?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!