Letupan kuat di depan mata
MENYERTAI lebih 10 operasi memerangi pengganas komunis di sempadan Malaysia -Thailand pada tahun 1969 ketika berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) merupakan pengalaman sukar dilupakan buat bekas pesara polis, Koperal Mohamad Nor Hassan.
Mohamad Nor, 75, yang ketika itu bertugas di Batalion 3 PPH Ipoh, Perak bagaimanapun berkata, daripada siri operasi disertainya, detik paling sukar dilupakan ialah ketika memburu anggota komunis di kawasan sempadan Thailand.
Berkongsi pengalaman kepada Sinar Harian, beliau memberitahu, sebelum memulakan operasi, beliau bersama rakan setugas berdoa terlebih dahulu supaya misi yang dilaksanakan berjalan lancar dan terhindar daripada sebarang bahaya.
Kata Mohamad Nor, operasi dijalankan ketika hujan lebat dan secara tiba-tiba beliau ternampak asap di akar sebatang pokok sebelum letupan kuat berlaku betul-betul di hadapan mereka.
“Kalau saya terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis, mungkin saya sudah tiada hari ini. Saya bersyukur kerana rakan yang lain juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Ampang, baru-baru ini.
Mohamad Nor berkata, pengalaman cemas yang hampir meragut nyawanya dan rakan sepasukan sehingga kini masih segar dalam ingatan.
“Kami perlu berwaspada kerana kawasan yang kami masuki itu dipenuhi jerangkap samar.
“Komunis memasang jerangkap samar dan menutupnya dengan daun-daun kering. Selain itu jerangkap samar turut dipasang di sekitar batang pokok tumbang atau akar pokok,” katanya.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, pasukannya juga pernah diserang hendap komunis ketika melakukan tugas rondaan di dalam hutan.
“Keadaan pada ketika itu menjadi kucar-kacir apabila kami diserang hendap dan dibedil bertalu-talu oleh komunis dari atas bukit.
“Kami dihujani peluru, saya bersama rakan sepasukan segera membalas tembakan sehingga musuh berundur dan melarikan diri,” ujarnya.
Minat jadi polis sejak kecil
Anak kedua daripada 11 beradik itu berkata, minatnya untuk menjadi seorang pegawai polis berputik sejak kecil iaitu ketika tinggal bersama keluarga di kuarters polis.
“Saya membesar di kuarters polis, secara tidak langsung kehidupan sebagai polis itu jadi sebahagian daripada hidup saya.
“Tiga adik saya juga mengikut jejak ayah menjadi anggota polis dan berkhidmat kepada negara,” katanya yang mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Ogos 1969.
“Saya menjalani latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Setelah tamat menjalani latihan kami dihantar ke kem Ulu Kinta, Perak.
“Kami menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Stesen Keretapi Tanjung Rambutan, Perak. Setibanya di stesen itu, kami route march ke kem sejauh lebih dua kilometer ketika hujan," katanya.
Selain daripada itu, beliau yang bertugas bersama pasukan Batalion 3 PPH selama 12 tahun itu turut berpeluang terlibat dalam operasi di Sarawak.
“Saya pergi ke Sarawak dengan menaiki kapal laut. Setibanya di sana, kami ditempatkan di Bau dan ditugaskan selama enam bulan.
“Sepanjang tempoh bertugas bersama pasukan PPH, kami melakukan banyak operasi rondaan di dalam hutan dan sentiasa berjauhan dengan keluarga,” kata pesara yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu.
Tambah beliau, penubuhan Jungle Squad atau dikenali PPH menunjukkan inisiatif kerajaan ketika itu untuk membanteras keganasan komunis secara menyeluruh.
“Peranan utama PPH ditubuhkan adalah sebagai satu pasukan simpanan khas bertujuan untuk menghadapi semua jenis ancaman dalam bentuk ketenteraman awam, aktiviti subversif, keganasan atau pemberontakan bersenjata yang berlaku dalam negara.
“Ia juga berperanan untuk membantu pasukan tentera dalam operasi menentang gerila komunis serta menghapuskan penyusupan musuh ke dalam negara ini,” katanya.
Polis pengiring Agong
Mohamad Nor memberitahu, beliau kemudiannya ditugaskan sebagai pengawal pengiring untuk menjaga keselamatan di kediaman orang kenamaan di ibu kota pada tahun 1981.
“Saya bertugas sebagai pengawal pengiring hanya enam bulan, sebelum ditukarkan ke Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur,” ujarnya.
Mohamad Nor menambah, beliau berpeluang menjadi polis pengiring kepada Yang di-Pertuan Agong Kesembilan, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada tahun 1989.
“Saya juga bertugas sebagai polis pengiring sehingga Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya yang bersara pada 4 Disember 2003.
Menurut beliau, segelintir masyarakat mungkin beranggapan tugas mengiring orang kenamaan tidak mencabar, bagaimanapun ia tidak benar kerana tanggungjawab yang dipikul itu perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Polis pengiring perlu mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi. Pada ketika itu saya menunggang motosikal jenis Honda Gold Wing,” katanya.
Tambah Mohamad Nor, walaupun kelihatan hebat ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, tetapi jika berlaku sebarang kesilapan dalam melaksanakan tugas mengiring, ia akan memberi kesan besar kepada banyak pihak.
“Ada sesetengah pemandu kenderaan awam sengaja tidak mahu beri laluan kepada anggota polis pengiring. Mungkin mereka ingat kami suka-suka suruh mereka beri ruang, sedangkan kita memikirkan faktor keselamatan orang awam,” katanya.
Beliau berkata, polis pengiring turut berperanan menjaga keselamatan orang kenamaan yang diiringi sehingga selamat tiba ke destinasi.
“Setiap pegawai dan anggota polis pengiring memikul tugas mencabar dan memerlukan komitmen tinggi.
“Bayangkan ketika hujan lebat penugasan tetap diteruskan, anggota yang menunggang motosikal juga lebih terdedah dengan bahaya kerana ketika itu keadaan jalan menjadi licin,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhi sebagai polis pengiring ketika menguruskan sesuatu urusan atau majlis rasmi terutama aspek keselamatan.
“Pelbagai perkara tidak diingini boleh berlaku sekiranya aspek keselamatan tidak dipantau dengan teliti.
“Selain memastikan orang kenamaan terbabit yang diiring sampai ke destinasi, kami juga perlu menghafal setiap laluan alternatif ketika membawa orang kenamaan, sebagai langkah keselamatan.
Selain aspek keselamatan, jelasnya, cabaran lain yang perlu ditangani polis pengiring ialah memastikan orang kenamaan yang diiringi sampai ke destinasi mengikut jadual walaupun dalam keadaan lalu lintas yang sesak.
“Ia adalah salah satu cabaran yang perlu kami tempuhi setiap kali melakukan tugas mengiring,” katanya yang pernah menerima pingat Bentara Setia Diraja.
Hargailah pengorbanan polis
Mohamad Nor berkata, anggota polis tanpa mengira penat lelah menggadaikan nyawa bagi memastikan keselamatan berada dalam keadaan siap siaga.
“Jasa dan pengorbanan pesara polis, jangan kita lupakan kerana keamanan dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan yang dilakukan mereka,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat harus menghargai pengorbanan serta jasa yang dilakukan pasukan polis terutama yang sudah bersara dan bukannya mempertikai dan memperlekehkannya.
“Sejarah telah membuktikan betapa hebatnya pengorbanan anggota polis dalam peristiwa bersejarah di negara kita.
“Generasi muda sepatutnya melahirkan rasa bersyukur di atas jasa kami yang berkorban jiwa dan raga demi mendaulatkan negara tercinta ini,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!