PDRM perlu lebih tajam depan gol Selangor

Azzmi
Azzmi
A
A
A

PDRM FC diharapkan dapat menjelmakan keputusan positif ketika turun melayan kunjungan Selangor FC dalam perlawanan penamat pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Itu harapan pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Azzmi Ab Aziz selepas skuad The Cops meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas kelab bermasalah Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 23 Mei lalu.

"Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan keputusan positif di Kota Bharu dan berharap momentum itu dapat diteruskan di Petaling Jaya pada Sabtu.

"Ya, sesungguhnya kita mengharapkan keputusan positif berdepan pasukan pilihan kedua terbaik Liga Super, Selangor selepas Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Keputusan positif ke atas Selangor secara tidak langsung akan dapat memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga bagi pusingan pertama," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebagai rekod, PDRM kini menghuni tangga ke-10 carta liga dengan 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan tujuh tewas selepas mengharungi 12 perlawanan.

Selangor pula di tangga kedua dengan 28 mata hasil sembilan kemenangan, satu seri, dua tewas selepas 12 perlawanan.

Sementara itu, Azzmi berharap para pemain The Cops akan dapat menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan ketika berdepan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu nanti.

"Persembahan para pemain PDRM semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Jadi saya harap begitu juga dalam perlawanan ini selain mahu para pemain PDRM lebih tajam di hadapan gol," katanya yang turut mengintai kedudukan terbaik pusingan pertama Liga Super.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!