16 pekerja kilang jadi mangsa pemerdagangan diselamatkan
PUCHONG - Seramai 16 warga Myanmar yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dalam serbuan di sebuah kilang kejuruteraan besi dekat sini pada Jumaat.
Operasi kira-kira jam 4.30 petang itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Menurut sumber, lelaki warga asing yang diselamatkan terdiri daripada empat bawah umur iaitu 16 hingga 17 tahun manakala 12 lagi berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun.
"Siasatan awal mendapati pasport mangsa telah ditahan majikan, tempat tinggal tidak kondusif selain mangsa bawah umur yang menjalankan kerja berbahaya," katanya pada Sabtu.
Tambah sumber, polis turut menahan 36 lelaki warga asing berusia 21 hingga 45 tahun atas kesalahan imigresen.
Katanya, mereka terdiri daripada 34 warga Myanmar manakala dua lagi masing-masing warga Bangladesh dan Pakistan.
"Susulan itu, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun berperanan sebagai pengurus kilang terbabit telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut.
"Siasatan turut dijalankan di bawah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta yang sama Imigresen serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!