1,000 penduduk di Melinsung gesa selesai isu air

Sebahagian penduduk perumahan menggesa pihak pengurusan perumahan selesai isu air yang melanda sejak seminggu lalu.
Sebahagian penduduk perumahan menggesa pihak pengurusan perumahan selesai isu air yang melanda sejak seminggu lalu.
A
A
A

PAPAR - Kira-kira 1,000 penduduk dari sebuah kawasan perumahan di Melinsung, di sini menggesa pihak pengurusan perumahan itu menyelesaikan isu air yang dihadapi mereka sejak seminggu lalu.

Difahamkan, bekalan air terpaksa dicatu dan menyebabkan sebahagian besar penduduk terutama yang tinggal di tingkat satu, dua dan tiga tidak menerima bekalan air mencukupi.

Penduduk, Herman Jamal, 50, mendakwa masalah air dihadapi berpunca daripada pihak pengurusan yang gagal mengurus agihan air kepada semua penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

"Hari ini sudah masuk hari ketujuh penduduk terjejas disebabkan tiada usaha daripada pihak pengurusan untuk mendapatkan bekalan air untuk penduduk di sini.

"Sejak masalah air melanda, kami yang terpaksa berhubung dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan bekalan air tetapi apabila bekalan sampai, ia tidak diagihkan terus kepada penduduk sebaliknya dimasukkan ke dalam tangki untuk disalurkan ke rumah-rumah.

"Malangnya, tidak semua penduduk mendapat agihan air ke paip rumah masing-masing sebaliknya hanya mereka yang tinggal di tingkat bawah saja menerimanya manakala penduduk yang tinggal di tingkat atas terpaksa turun ke bawah bagi mendapatkan bekalan air," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Melinsung.

Penduduk yang tinggal di tingkat atas perumahan berkenaan terpaksa mengangkat air menggunakan gelen untuk mengangkat air dari bawah.
Penduduk yang tinggal di tingkat atas perumahan berkenaan terpaksa mengangkat air menggunakan gelen untuk mengangkat air dari bawah.

Katanya lagi, disebabkan keadaan itu menyukarkan penduduk yang tinggal di tingkat atas perumahan berkenaan terutama golongan tidak berdaya seperti wanita mengandung dan warga emas.

"Ada wanita mengandung di mana ketika suami mereka bekerja di luar kawasan terpaksa mendapatkan ihsan daripada jiran untuk mengangkat air dari tingkat bawah sehingga ke kediaman mereka di tingkat tiga.

"Begitu juga warga emas yang sudah tiada tenaga dan kami paling risau jika berlakunya kecederaan akibat terjatuh ketika mengangkat air ke tingkat atas," katanya yang sudah menetap di perumahan itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Hamizan Wasli, 47, memaklumkan masalah air tidak berlaku di kawasan sekitar tetapi hanya berlaku di kawasan perumahan yang mereka diami ketika ini.

"Kedai dobi dan restoran di hadapan perumahan ini beroperasi seperti biasa manakala kawasan perumahan berhampiran juga tiada masalah air.

"Apabila kami dapatkan maklumat daripada jabatan air, memang dinyatakan ada berlaku kurang tekanan air tetapi tidak terlalu kritikal," katanya.

Sehubungan itu, Hamizan berharap pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya dengan menyediakan insiatif supaya penduduk mudah mendapatkan bekalan air bersih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!