Mourinho berdepan dakwaan UEFA
KESATUAN Bola Sepak Eropah (UEFA) akan mendakwa jurulatih AS Roma, Jose Mourinho kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan ketika aksi final Liga Europa baru-baru ini.
Pengendali dari Portugal itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Anthony Taylor pada final di Budapest Rabu lalu yang menyaksikan Sevilla muncul juara menerusi sepakan penalti 4-1 selepas permainan terikat 1-1.
Mourinho mengkritik Taylor dalam sidang media selepas perlawanan dan kemudian turut didakwa menghina pengadil itu di tempat letak kereta stadium.
Kedua-dua kelab juga didakwa di atas salah laku pemain dan penyokong yang membaling objek serta menyalakan bunga api.
UEFA mengutuk tindakan ganas ke atas Taylor serta keluarganya dan akan menilai insiden ini dengan teliti bagi memastikan ia tidak berulang pada masa depan.
“Tiada semangat kesukanan dan perlakuan sebegini tidak boleh diterima. Pengadil memainkan peranan penting dalam memastikan integriti dan keadilan permainan.
“Keselamatan mereka sangat penting,” kata UEFA.
Sevilla turut didakwa di atas kesalahan penyokong menceroboh ke kawasan padang, manakala Roma didakwa kerana kerosakan dan kekacauan yang dicetus oleh penyokongnya.
Pada aksi itu, Taylor melayangkan kad kuning kepada 13 pemain, tujuh daripadanya pemain Roma yang menyebabkan permainan terganggu akibat jumlah kekasaran yang tinggi.
Pengadil dari England itu kemudian menjadi sasaran penyokong Roma di lapangan terbang Budapest.
Taylor dan keluarganya terpaksa dikawal ketika keluar dari kafe ke kawasan selamat di lapangan terbang tersebut.
Ia adalah kejuaraan Liga Europa ketujuh Sevilla dan kekalahan pertama Mourinho sebagai pengendali dalam final Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!