Rumah Ngaji@An-Nur TTJ yang ke-25 di NS
SEREMBAN - Rumah Ngaji Negeri Sembilan melebarkan sayapnya dengan pembukaan sebuah lagi Rumah Ngaji @ An-Nur TTJ, menjadikannya Rumah Ngaji yang ke 25 di negeri ini.
Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, pihaknya komited terhadap usaha seperti ini yang menjurus ke arah ukhrawi selain, mengimbangkan dengan urusan duniawi.
Katanya, dengan berkonsepkan baca, faham dan amal, diyakini akan dapat membantu masyarakat memahami serta mendalami khasiat dalam al-Quran ini.
"Kita berasa bangga dan bersyukur kerana ada pihak yang bermurah hati mewakafkan tempat ini dan dijadikan Rumah Ngaji, sekaligus memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mempelajari al-Quran.
"Tanpa dikenakan sebarang bayaran (bagi pengajian asas mengaji), semua peserta boleh menghadiri kelas bacaan al-Quran secara percuma mengikut hari yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Rumah Ngaji@An-Nur TTJ ini telah disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad dan disertai ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani.
Sementara itu, menurut Pencetus idea penubuhan selaku Pengurus Rumah Ngaji@An-Nur TTJ, Ustaz Dr Azman Alias, Rumah Ngaji@ An-Nur TTJ ini merancang untuk menyediakan khidmat pembelajaran al-Quran secara menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada pembelajaran al-Quran peringkat asas, tahsin Al-Quran, Talaqqi Bersanad, Ilmu Qiraat, hafazan, dan ilmu Lughah Al-Quran.
Katanya, selain itu bagi pelajar sekolah yang mengambil bahasa Arab, pihaknya juga akan mengadakan tuisyen Bahasa Arab.
Rumah Ngaji@An-Nur TTJ dibuka setiap Rabu dan Khamis malam serta Sabtu dan Ahad.
Sehingga kini, mereka sudah menerima 80 peserta dengan dibantu lima tenaga pengajar yang bertauliah.
Rumah Ngaji ini adalah pusat pengajian al-Quran yang berkonsepkan tanpa keuntungan yang diasaskan oleh Kumpulan Media Karangkraf, menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Mereka yang berminat boleh hubungi Rumah Ngaji@An-Nur di talian 019-7018331/019-3893734 atau kunjungi di alamat No.24 Jalan TTJ S3/6, Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut Seremban.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!