YDP, Datuk Bandar tunjuk prestasi cemerlang berpeluang ke Oxford

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

BERUAS - Pegawai dan kakitangan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun ini berpeluang mengikuti kursus jangka pendek di universiti terkemuka luar negara termasuk Oxford.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tawaran khas berkenaan turut menyediakan peluang ke Universiti Harvard dan Stanford sempena Anugerah Gemilang Emas Menteri KPKT 2023 yang diadakan November depan.

"Kita akan pilih Yang Dipertua terbaik, Datuk Bandar cemerlang juga mana-mana pegawai lain cemerlang untuk menimba ilmu sampai ke Universiti Harvard, Stanford dan Oxford.

"Ini adalah pakej paling cemerlang yang akan diterima daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada November nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Awam Ayer Tawar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, KPKT kini berada di landasan yang betul dalam mengukur tahap prestasi perkhidmatan bergantung kepada prestasi ditunjukkan.

"Jika anda memberikan prestasi yang baik, maka akan dapat lebih. Jika sebaliknya, maka saya minta maaf," katanya.

Januari lepas, Kor Ming mengumumkan buat julung kali akan memberikan anugerah kepada kira-kira 20,000 warga kakitangannya yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Penghasilan anugerah itu sebagai satu cara untuk menaikkan semangat kerja yang lebih komprehensif kepada rakyat.

Sebanyak 12 kategori individu pasukan disediakan termasuklah Anugerah Keunggulan Menteri, Anugerah Berlian KPKT dan Anugerah Kepimpinan Terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!