Anwar mahu murid dilatih bersihkan tandas sekolah
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat teguran bahawa kebanyakan tandas di sekolah di negara ini tidak terjaga dan dibaikpulih sebaiknya.
Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memeriksa tandas-tandas berkenaan bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab terhadap kebersihan dan mendapat kemudahan yang selesa.
"Bila saya suruh Fadhlina (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) periksa tandas di sekolah-sekolah, banyak yang rosak, berpuluh tahun tiada siapa peduli.
"Bagaimana kita nak hantar anak ke sekolah kalau tandas rosak. Anak kita manusia, bukan dewa yang tak perlu ke tandas," katanya ketika berucap pada Majlis Peramian D'Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan supaya murid-murid sekolah tidak mengambil mudah isu kebersihan serta keselesaan tandas.
Oleh yang demikian beliau menyarankan agar anak-anak dididik untuk mencuci kemudahan tersebut.
"Dahulu sewaktu saya Menteri Pendidikan, saya arahkan semua sekolah buat giliran bersihkan tandas.
"Ada ibu bapa profesional, golongan atasan hantar telegram kepada saya (membantah); menteri, saya hantar anak saya belajar di sekolah bukan untuk mencuci tandas.
"Saya kata arahan tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang kebersihan serta menghormati orang lain termasuk pencuci tandas," katanya.
Sebagai rekod, Anwar menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1986 ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!