Kehilangan yang pasti dirindui

Muka hadapan akhbar Sinar Harian, hari ini.
Muka hadapan akhbar Sinar Harian, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Rabu, 1 Mei 2019. Tarikh yang pasti diingati dan dikenang sepanjang zaman.

Pada hari tersebut, negara kehilangan sebutir permata ummah, pendakwah unggul, ulama berjiwa mulia yang tiada gantinya, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 73.

Di kala rakyat bercuti, meluangkan masa bersama keluarga sempena Hari Pekerja, keheningan pagi di Malaysia dikejutkan dengan pemergian bekas Penasihat Agama Istana Negara itu kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Pemergiannya bukan sahaja ditangisi keluarga dan sanak-saudara malah sahabat handai, pemimpin negara, ulama, rakyat marhaen turut terkesan.

Anaknya, Mohamad Yusri Abu Hassan berkata, Allahyarham pergi menghadap Ilahi selepas rebah ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

"Ketika ingin memakai seluar, beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri. Sejurus kemudian, pasukan perubatan tiba dengan ambulans.

“Mereka berusaha melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) bermula dari rumah," katanya.

Selepas satu jam, doktor mengesahkan Abu Hassan meninggal dunia selepas melihat Allahyarham tidak memberikan sebarang respons ketika CPR dilakukan. Ramai menyayanginya namun ternyata ALLAH lebih menyayanginya.

Artikel Berkaitan:

Usai tersebar beritanya, perasaan sayu dan pilu bermain di jiwa masyarakat. Benarlah bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Nama Abu Hassan akan terus tercatit dalam sejarah negara, begitu juga dua abangnya - Datuk Dr Haron Din dan Ustaz Ishak Din. Mereka ulama, ilmuan, tokoh Islam yang tiada galang gantinya.

Sejujurnya, sukar mencari pengganti mereka. Ia turut diakui pendakwah bebas, Datuk Hassan Mahmud.

Baginya, perwatakan Abu Hassan tiada gantinya dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.

“Wataknya memang sukar dicari ganti. Saya tengok di Masjid Negara kalau hari Jumaat, pemimpin besar semua masuk ke bilik dan berborak dengannya. Beliau pandai menyesuaikan diri.

“Beliau (bertugas) sampai ke Istana Negara. Beliau boleh sesuaikan diri dengan barisan raja-raja, itu memang hebat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sungguh besar jasa bekas Imam Besar Masjid Negara itu kepada Malaysia terutamanya dalam menyampaikan dakwah dan berkongsi ilmunya kepada umat Islam.

“Kita kehilangan seorang yang memelihara al-Quran, penghafaz al-Quran. Jasanya juga banyak, menjadi Imam Besar Masjid Negara, berdakwah sana-sini, orang yang begitu berakhlak, berbudi, bijak berbicara.

“Dengan pemergian beliau, kita susah nak cari gantinya, insan yang ALLAH pilih untuk mempunyai ilmu pengetahuan dan kebolehan bercakap,” ujarnya.

Apabila perginya insan disayangi, disanjungi ramai, kehilangannya pasti dirasai dan ia turut menyentuh hati Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau menganggap Allahyarham sebagai tokoh dakwah berpengaruh.

Menulis di laman Facebooknya, Zulkifli menyatakan masih jelas di ingatannya celoteh Allahyarham dalam Forum Perdana Ehwal Islam beberapa tahun lepas, program yang cukup sinonim dengan ulama tersebut.

“Dalam gelak tawa, ada nasihat dan kata hikmah yang pastinya menyegarkan minda dan hati.

"Selamat menuju ke negeri yang baqa'. Al-Fatihah,” tulisnya dalam status tersebut.

Menyelusuri sejarah, Abu Hassan dilahirkan di Perlis, mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.

Dengan pemergiannya, ia bermakna arwah menyusuli dua abangnya. Haron, 76, meninggal dunia pada September 2016 di Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Manakala, seorang lagi abangnya, Ishak, 78, meninggal dunia dua bulan kemudian ketika sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Yang pergi tetap pergi, yang hidup teruskan kehidupan. Diharapkan barisan pendakwah muda masa kini dapat meneruskan legasi ditinggalkan ulama terdahulu.

Akhir kalam, Sinar Harian mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam golongan orang beriman. Semoga syiar Islam terus berkembang di Malaysia.

Al- Fatihah...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!