Isu kartel, penipuan penimbang: Mahfuz cabar Sanusi serah bukti
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta mengemukakan bukti berhubung dakwaan kewujudan kartel dan penipuan alat timbangan dalam sektor pertanian di negeri ini.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, Muhammad Sanusi sewajarnya menyerahkan bukti atas dakwaan tersebut ke saluran yang tepat dan bukan sekadar membuat pendedahan secara terbuka.
Menurutnya, laporan rasmi berhubung perkara itu wajar dilakukan agar pihak berkaitan dapat melakukan siasatan.
“Muhammad Sanusi dalam ucapannya mengatakan ada penipuan dalam penimbang padi yang gunakan ‘setting’ musim lalu pada musim ini. Orang pakat tepuk tangan bila dia cakap macam itu, jadi hero.
“Kalau beliau dakwa ada bukti, saya cabar dia (Muhammad Sanusi) tunjuk kilang mana dan buat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), ikut prosedur jika ada unsur penyelewengan atau rasuah,” katanya selepas meninjau reruai LPP sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat Negeri Kedah (HPPNK) di sini, pada Sabtu.
Pada Khamis, Muhammad Sanusi dalam ucapannya ketika merasmikan HPPNK mendakwa wujudnya kartel dalam industri padi di negeri ini selain berlaku penipuan di kilang beras berkaitan alat penimbang yang tidak tepat.
Justeru, Mahfuz berharap Muhammad Sanusi tidak sekadar melontar dakwaan tanpa mengambil tindakan bersesuaian untuk bersama-sama mengekang penipuan sekiranya benar-benar berlaku.
“Kalau ada kilang tipu, kena buat laporan Dia tak boleh semata-mata lontar (cerita) ada penipuan, tak kan pula kita nak salahkan pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) atau pegawai pertanian kononnya sembunyikan perkara ini.
“Kita mahu tahu siapa terlibat? Tak wajarlah kalau sekadar bercakap. Kalau tidak, saya akan minta petani-petani buat perhimpunan (bantahan) di hadapan Seri Mentaloon supaya Muhammad Sanusi kemukakan bukti kepada petani. Jangan nak bohong petani,” ujarnya lagi.
Mahfuz memaklumkan, setiap agensi berkaitan sentiasa bersiap sedia bagi memastikan pembelaan petani mendapat perhatian sewajarnya.
“Jangan tuduh ada kartel dan sebagainya tanpa serah bukti. Mungkin tidak mustahil adanya kartel sebab sudah lama kita bercakap isu ini. Soalnya siapa dia? Buktinya di mana? Kemukakan bukti,” tegasnya.
Mahfuz turut mempersoalkan isu yang dibangkitkan Muhammad Sanusi sebelum ini yang tidak pernah diketengahkan ketika negara ditadbir Perikatan Nasional (PN).
“Isu penipuan penimbang, wujud kartel, ada kilang menipu dan sebagainya, tidak pernah berbangkit ketika Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi Menteri KPDN malah dua Timbalan Menteri Pertanian ketika itu adalah daripada Pas,” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!