Radzi Jidin harap Dr Noor Hisham dapat terus berikan sumbangan
SHAH ALAM - Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berharap dan mendoakan agar bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dapat terus memberikan sumbangan kepada negara.
Harapan tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Putrajaya itu menceritakan pengalaman beliau semasa memegang portfolio tersebut pada pandemik Covid-19 di Facebooknya pada Sabtu.
“Dalam memori yang tercatat di Facebook saya pada hari ini (Sabtu), 3 Jun, tiga tahun lalu, ada perkongsian satu video yang cukup nostalgik.
“Coretan tentang lawatan saya bersama Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mantan Ketua Pengarah Kesihatan dan Datuk Rabin Basir, mantan Ketua Pengarah MKN (Majlis Keselamatan Malaysia) bagi meninjau persediaan pembukaan semula sekolah buat pertama kali selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Pada ketika itu, tiada siapa pun antara kita yang berpengalaman menguruskan sesi persekolahan sewaktu pandemik sepertimana pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau meluahkan rasa bertuahnya apabila mempunyai pasukan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang begitu komited terhadap perkara tersebut.
Tambah Mohd Radzi, perbincangan bersama KKM dan MKN sentiasa dilakukan bagi memastikan para pelajar dapat kembali ke sekolah dengan selamat.
“Kebetulan pula, tengah hari tadi saya ke satu majlis di Putrajaya dan direzekikan bertemu Tan Sri Dr Noor Hisham.
“Satu kebetulan yang amat bermakna! Allahu, teringat penat jerih berperang dengan Covid-19 satu ketika dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!