Kuskop sasar jualan RM12 juta sempena Minggu PMKS Zon Utara

Kon Yeow melakukan simbolik pelancaran Minggu PMKS 2023 Peringkat Zon Utara sempena MUN di SP Arena Seberang Jaya, Bukit Mertajam hari ini. Turut sama, Saraswathy (tiga dari kanan).
Kon Yeow melakukan simbolik pelancaran Minggu PMKS 2023 Peringkat Zon Utara sempena MUN di SP Arena Seberang Jaya, Bukit Mertajam hari ini. Turut sama, Saraswathy (tiga dari kanan).
A
A
A

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan potensi jualan sebanyak RM12 juta termasuk melalui padanan perniagaan sempena Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Zon Utara yang bermula semalam hingga esok.

Timbalan Menterinya, K Saraswathy berkata, program itu merupakan acara tahunan oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan bagi zon utara melibatkan Pulau Pinang, Perak, Kedah serta Perlis.

Beliau berkata, Minggu PMKS 2023 Peringkat Zon Utara yang diadakan sempena Minggu Usahawan Negara (MUN) anjuran KUSKOP itu, dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS tempatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada semua pihak khususnya ketika pascapandemik.

"Ia bermula dengan Zon Utara di Pulau Pinang diikuti dengan Sarawak seterusnya Zon Selatan di Melaka, Zon Pantai Timur di Pahang dan Sabah. Kemuncaknya adalah sambutan MUN dan Minggu PMKS 2023 Peringkat Kebangsaan pada 7 hingga 9 Julai ini di Dataran Merdeka yang bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"SME Corp menyasarkan potensi jualan RM70 juta termasuk melalui padanan perniagaan sepanjang penganjuran Minggu PMKS 2023 itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu PKMS 2023 Zon Utara di SP Arena di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, SME CORP Rizal Nainy dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Saraswathy berkata, program itu juga bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan PMKS kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, selain meningkatkan kesedaran umum tentang produk dan perkhidmatan PMKS daripada pelbagai industri, Minggu PMKS juga menawarkan platform untuk hebahan maklumat mengenai pembiayaan serta program pembangunan yang ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

"Pada tahun lepas, PMKS telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM518.1 bilion atau 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 7.32 juta orang, ini adalah seiring teras pertama MADANI iaitu memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, Minggu PMKS Zon Utara pada kali ini berjaya menonjolkan keunikan dan kepelbagian produk PMKS tempatan antaranya makanan tradisional putu Perak, peneram dan pekasam.

"Sebanyak 90 reruai disediakan untuk pameran dan karnival jualan, serta aktiviti menarik lain seperti kaunter bergerak oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!