Tarikan ICT negeri Terengganu

A
A
A

ADA beza antara ICT di Kuala Lumpur (KL) dengan ICT di Kuala Terengganu (KT).

Di ibu negara ICT adalah singkatan information and communication technology atau teknologi maklumat dan komunikasi.

Lama sebelum warga KL mengenali atau bercakap dan bermegah mengenai era teknologi maklumat, Terengganu sudah mendahului dunia ICT.

Orang di Negeri Penyu, termasuk yang tinggal di kampung terpencil, sejak kecil sudah terbiasa sangat dengan ICT.

Hatta mereka yang tidak pernah bersekolah dan tidak tahu membaca pun sudah menjadikan ICT sebahagian daripada ciri hidup harian.

Bagi mereka tanpa ICT hidup tidak bererti. Di Terengganu ICT bukan information and communication technology, tetapi ‘ikan celup tepung’. Ikan itu termasuklah sotong, ketam, udang dan lain-lain tangkapan dari laut.

Di negeri pesisir pantai ini ikan dan lain-lain tangkapan laut adalah amat segar. Pengusaha restoran mengambil ikan yang baru naik terus dari bot nelayan.

Kesegaran

Artikel Berkaitan:

Tentu sekali berbeza kesegarannya jika dibandingkan dengan ikan yang dijual di pasar raya dan pasar-pasar di KL.

Hasil laut yang masih segar itulah yang dijadikan bahan utama di gerai dan restoran ICT. Sebab itu semua mengakui bahawa ICT di KT adalah yang terbaik.

Sama seperti nasi dagang dan keropok lekor, ICT adalah makanan utama orang di negeri pantai timur ini.

Hasil nelayan yang segar dari Laut China Selatan dicelup tepung kemudian digoreng dan dihidangkan kepada pelanggan.

Panas, harum, rangup dan amat terasa keenakannya apabila dimakan dengan sos istimewa buatan kampung. Tanpa nasi, tanpa ulam, ICT diratah begitu sahaja.

Pelancong, termasuk dari luar negara, mungkin tidak suka durian atau lain-lain makanan tempatan. Tetapi mereka pasti menggemari ICT.

Di Kuala Terengganu ada banyak lokasi yang menghidangkan ICT. Saya cadangkan kawasan berhampiran Batu Rakit – 15 minit berkereta dari pusat bandar – untuk ICT terbaik.

Salah satu yang boleh dicuba ialah Warung Pok Nong di Mengabang Telipot yang setiap cuti umum atau hujung minggu dipenuhi pelanggan dari luar Terengganu.

Hanya beberapa meter dari Warung Pok Nong ialah Warung ICT Adik-beradik Sri Kolam yang kedudukannya betul-betul di tepi pantai menghadap Laut China Selatan.

Ikan, sotong, ketam dan udang segar digoreng rangup untuk dinikmati bersama hembusan angin laut. Sambil meratah nikmati juga laut membiru yang mengulit pantai.

Selain ICT, di Sri Kolam ada juga mi goreng istimewa. Ada juga pisang goreng rangup. Untuk minuman, ada air kelapa muda dan ABC sedap.

Dibuka seawal waktu Zuhur, kawasan ICT ini dikerumuni sehingga selepas Isyak.

Sebenarnya, tidak ada had tutup kedai; selagi ada ikan dan ada pelanggan, ICT tetap ada.

Pada cuti umum ada yang terpaksa meletakkan kenderaan sejauh setengah kilometer dan berjalan menuju Pok Non atau Sri Kolam.

Tetapi berbaloi berjalan kerana kelazatan! Sebenarnya jika malas ke Batu Rakit, ICT juga dihidangkan di gerai dan tempat makan pantai Batu Burok.

Seperti yang diakui kebanyakan pengunjung, Batu Buruk atau Batu Rakit sama rasa berbeza harga. Di gerai Batu Burok harganya dua kali lebih mahal!

Pulang ke KT baru-baru ini, saya tidak memandu mengikuti LPT2, sebaiknya menyusuri jalan lama dan singgah di Kuala Kemaman.

Di situ juga ada beberapa restoran ICT yang sejak dahulu memang terkenal dengan kesegaran makanan dan hasil laut serta menjadi salah satu tarikan pelancong.

Selain ICT dan lain-lain hasil laut – keropok dan ikan kering, Kuala Kemaman juga terkenal dengan satu lagi makanan Terengganu iaitu satar.

Terengganu sejak dulu terkenal dengan makanan berasaskan ikan – keropok ikan, nasi lemak ikan, karipap ikan, pendek kata serba-serbi ‘ikang’. ICT tetap yang terbaik.

Seperti yang diakui kebanyakan pengunjung, Batu Burok atau Batu Rakit sama rasa berbeza harga. Di gerai Batu Burok harganya dua kali lebih mahal!"

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!