Bawa bagasi persediaan 'borong' buku di PBAKL

Noor Azhar bersama bagasi yang dibawa ketika membeli buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Noor Azhar bersama bagasi yang dibawa ketika membeli buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 mengundang segelintir pengunjung membawa bagasi untuk 'memborong' buku pilihan masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mendapati pengunjung membawa bagasi sendiri bagi memudahkan mereka membawa buku yang dibeli dalam kuantiti yang banyak.

Seorang pengunjung, Noor Azhar Mistar, 45, berkata, membawa bagasi membantunya untuk bergerak dan memilih buku kerana bahan bacaan yang sudah dibeli dikumpul dalam satu bagasi.

"Saya ambil keputusan untuk bawa bagasi kerana pengalaman terdahulu lagipun sekarang sudah jadi satu trend. Kalau lihat di pusat beli belah ramai yang bawa kerana memudahkan mereka untuk menyimpan barang.

"Contohnya, hari ini saya bawa anak-anak dan telah membeli lebih 60 buah naskhah buku. Cuba bayangkan kalau tidak bawa bagasi bagaimana mahu angkat semua buku yang dibeli? soalnya ketika ditemui di pesta buku itu pada Sabtu.

Tambah Noor Azhar yang juga kakitangan awam memberitahu, dia tiba seawal jam 8 pagi tadi.

"Jadi dalam masa tiga jam saya sudah habis berbelanja lebih RM1,000 dan hanya memberi fokus untuk buku anak-anak. Mereka sangat gembira apabila setiap koleksi komik yang dicari mereka boleh diperoleh di sini.

"Saya dan ibu pula dapat cari buku-buku agama yang tidak terdapat di kedai buku," jelasnya.

Gambar dari kiri: Aqila Naznin dan Halfazila.
Gambar dari kiri: Aqila Naznin dan Halfazila.

Bagi Aqila Naznin Nor Haswari, 25, dia sememangnya merancang untuk membawa bagasi memandangkan perlu menaiki pengangkutan awam.

"Saya dari Ipoh, mahu datang sini kena naik bas dan menggunakan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT). Oleh sebab itu, saya rancang awal dengan membawa bagasi bagi memudahkan pergerakan nanti.

"Pesta ini setahun sekali jadi jangan lepaskan peluang yang ada, walaupun penat tidak mengapa. Saya sudah sediakan RM 200 hingga RM300 untuk membeli buku, teruja sebenarnya," ujarnya.

Sementara itu, Halfazila Mohamad, 52, berpandangan, pesta buku ini dapat memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan pelajar.

"Mereka datang sini dapat lihat pelbagai jenis buku yang dijual sekali gus dapat menarik minat terhadap ilmu apatah lagi pada musim cuti persekolahan. Selain bawa anak-anak melancong pesta buku ini juga merupakan salah satu tempat yang sesuai dikunjungi.

"Selain itu, mereka juga dapat merasai pengalaman yang berbeza," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!