Sastera dan bola sepak

Sastera menggunakan kognitif terutamanya dalam naratif dan imaginasi, sedangkan bola sepak menggunakan kekuatan fizikal
Sastera menggunakan kognitif terutamanya dalam naratif dan imaginasi, sedangkan bola sepak menggunakan kekuatan fizikal
A
A
A

MENYEBUT sastera dan bola sepak tentu berbeza daripada kedudukannya.

Sastera adalah sebuah seni yang berhubungan dengan penulisan karya. Bola sepak pula sejenis sukan yang berkaitan dengan permainan bola.

Sastera menggunakan kognitif terutamanya dalam naratif dan imaginasi, sedangkan bola sepak menggunakan kekuatan fizikal terutama kaki yang akan menendang bola mencari arah sasarannya.

Sastera digerakkan secara individu, bola sepak secara berpasukan. Sastera mempunyai khalayaknya dan bola sepak pula memiliki peminatnya.

Antara kedua-duanya terlihat perbezaan bagaikan dikotomi antara siang dan malam, bergerak secara paralel, tiada hujung pertemuannya.

Namun, jika dihayati secara halus, terdapat nuansa yang memperlihatkan beberapa persamaan.

Dalam konteks pembinaan, penghasilan dan impaknya memiliki persamaan meski berbeza dari aspek metode serta mekanisme.

Pengarang bermula dengan minat, berbakat, rajin membaca lalu mencuba menulis.

Pemain bola juga memerlukan minat, bakat, rajin menonton bola dan cuba bermain dengan turun ke padang.

Ilham disalin, disusun, distrukturkan. Perlahan-lahan menurunkannya dan kemudian menyuntingnya supaya kemas.

Latihan demi latihan untuk membina diri menjadi seorang pengarang.

Pemain bola sepak juga menjalani latihan demi latihan, malah bertahun-tahun untuk menjadi pemain yang berjaya.

Pada masa sama, seorang pengarang tidak mustahil seorang pemain bola sepak. Begitulah sebaliknya, pemain pun ada yang menjadi pengarang.

Dalam sastera, wujud istilah teknik, cara dan kaedah menyusun teks. Pengarang menerokainya dengan sabar dan menemuinya hasil kerja keras lalu diaplikasikan dengan hati-hati.

Teknik yang kemas, jitu dan sempurna adalah daya kekuatan sesebuah teks. Karya yang baik terletak pada tekniknya yang sesuai dan fungsional.

Malah, teknik menunjukkan kemahiran dan individualisme pengarang. Teknik sastera membayangi tamadun sesebuah bangsa.

Dalam permainan bola sepak, juga adanya istilah teknik iaitu peletakan penjenisan pemain.

Biasanya pemain terdiri dari aspek pertahanan yang pakar dalam menyekat serangan atau mencegah musuh daripada membuat jaringan.

Pemain tengah yang melakukan serangan dan memberikan lorongan bola kepada penyerang dan juga menolong pertahanan dengan mengganggu serangan pasukan lawan.

Pemain penyerang pula diberikan tanggungjawab besar dan sangat signifikan iaitu untuk menjaringkan gol.

Teknik pertahanan, menyerang dan menjaringkan gol dicari mekanismenya supaya tepat timing, relevan serta fungsional.

Pemain bergerak secara dua pasukan yang terdiri 11 orang. Padang berbentuk segi empat, di atas rumput atau sintetik dijadikan medan pertandingan.

Di penghujung padang ada gol, setiap pasukan mahu memasukkan bola ke dalam gol tersebut.

TEKNIK

Tidak ada dunia yang tidak bermain bola sepak.

Wujudnya pertandingan pelbagai bentuk termasuk Piala Dunia, ia adalah antara sukan paling banyak dipertandingkan. Bola sepak dipersetujui secara sepakat adalah sukan paling popular berbanding sukan yang lain.

Ia adalah ibu sukan, diminati oleh seluruh dunia. Setiap negara bermain bola sepak.

Sastera juga terutama genre sastera popular seperti novel popular banyak dibaca dan memiliki peminat luar biasa.

Dalam perjalanan bas, kereta api dan kapal terbang, mereka membaca novel.

Pengarangnya adalah seorang profesional, kaya-raya dan tersohor. Begitu juga pemain bola sepak bersifat profesional, kaya-raya dan termasyhur.

Teknik dalam bola sepak terlihat pada kedudukan pemain yang dinamakan sebagai formasi, yang ditentukan oleh ketua jurulatihnya.

Tiga nombor digunakan seperti 4-5-1, 4-4-2, 3-4-3, 4-3-3, 3-5-2 dan sebagainya menurut pilihan ketua jurulatih.

Pengaturan dan penyusunan formasi adalah penting untuk menjamin kejayaan. Formasi juga berunsur helah dan muslihat.

Teknik juga berkaitan dengan cara menghadapi perlawanan. Cara bermainnya mengikut situasi pertandingan.

Jika pihak lawan membuat teknik serangan, maka aspek pertahanan perlu dikejap dan diperketat.

Pihak musuh memperlambat permainan, maka serangan balas harus dilakukan.

Seandainya musuh bermain dengan kasar bertujuan melemahkan psikologi pemain, teknik itu juga harus disambut dengan garang.

UNSUR DRAMATIK

Sastera dan bola sepak berkongsi dalam apa yang disebut sebagai istilah taktikal. Ia berkaitan dengan taktik perancangan untuk mencapai tujuan.

Contohnya dalam pengakhiran sebuah klimaks, pengarang menggunakan poetic justice, deus ex machina atau time machines deviation.

Khalayak pun berada dalam keadaan tertunggu-tunggu apakah kesudahannya. Taktik mengandungi unsur ilusi sebagai penunjuk jalan pengakhiran dan ia mencipta unsur dramatik.

Permainan bola sepak juga mencipta unsur dramatik. Apabila kedudukannya dalam keadaan seri, setiap pasukan akan menggunakan kebolehan masing-masing untuk menjaringkan gol.

Penonton tidak tahu manakah pasukan yang terlebih dahulu menjaringkan gol.

Dalam situasi perebutan bola, menggelecek dan usaha untuk memenangkan pasukannya, inilah yang disebut sebagai unsur dramatik.

Penonton tidak tahu perancangan dan kesudahannya ia bagaikan sebuah ironi. Itulah hakikat dramatik bola sepak.

Tetapi unsur dramatik dalam sastera memang dirancang oleh pengarang. Dia sendiri tahu siapa yang memperoleh kemenangan.

Pengarang bagaikan pencipta yang maha tahu zahir dan batin para wataknya serta perjalanan penstrukturannya.

Khalayaknya pun berasakan remang-remang dramatiknya sambil aktif melayan aspektasinya meneka-neka apakah kesudahannya.

Unsur taktikal bergantung kepada prinsip. Pasukan yang menguasai bola terutamanya dengan hantaran pendek bagi mengekalkan penguasaan bola dan seterusnya melakukan serangan.

Serangan menjadi domain dengan mendapat sokongan dari belakang, depth dan dari sayap, width.

Memasuki dengan penetrasi yang bijak ke kawasan penalti. Pemain penyerang membawa bola untuk memasukkannya ke dalam gawang gol.

Cara dan mekanisme permainan sedemikian dinamakan sebagai prinsip bola sepak.

Prinsip dalam sastera berupa etika penulisan dan bagaimana naratif digerakkan untuk mencapai mutu serta nilai karya.

Prinsip dalam teori sastera adalah mekanisme penelitian mengikut apa yang dituntut oleh kriteria teorinya.

Dunia sastera dan bola sepak digerakkan oleh sistem, peraturan serta hukum yang ditentukan oleh organisasinya.

Badan pentadbiran dunia bola sepak ialah FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

Dunia sastera tanah air ditadbir oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta badan-badan penulis seperti Pena dan Gapena.

Peranan organisasi itu sangat penting dalam pengurusannya. Organisasi sastera memantau penulisan karya, penerbitan dan penganugerahannya.

Begitu juga pengurusan bola sepak meneliti dan menilai mutu permainan, menyusun pertandingan serta menyediakan penganugerahannya.

Begitulah sedikit wacana sastera dan bola sepak. Kedua-duanya kita minati. Sampai jauh malam kita membaca novel, sama halnya sampai bermalam-malam kita menonton bola sepak.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!