Peluang Kedua, Seringai karya tersendiri

Muhammad Izzad (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengunjung pada Sabtu.
Muhammad Izzad (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengunjung pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penulis buku Peluang Kedua, Muhammad Izzad Daniel Abdullah, 24, berharap buku itu dapat memberi kebangkitan kepada anak muda yang pernah mengalami titik hitam dalam kehidupan mereka.

Bekas ‘pelatih’ di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka itu percaya bahawa melalui penulisan dan pembacaan, ia dapat menarik seseorang individu terutamanya yang nakal kembali ke pangkal jalan, sekali gus mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

“Menerusi buku ini, saya telah berkongsi pengalaman hidup sebelum, semasa dan selepas bergelar pesalah juvana, selain berhasrat untuk menimbulkan kesedaran kepada golongan berkenaan bahawa jenayah bukanlah satu lawak jenaka.

“Mereka perlu tahu dan sedar, jangan pernah sesekali terlibat dengan dadah mahupun jenayah lain kerana hukuman akan menanti. Menjadi sebahagian daripada pelajar Sekolah Henry Gurney ini bukan sesuatu yang mudah. Oleh sebab itu, saya ambil keputusan untuk menulis buku ini,” jelasnya.

Beliau turut menjangkakan sehingga Oktober ini, sebanyak 3,000 naskhah buku Peluang Kedua akan terjual.

Karya Muhammad Izzad itu antara yang boleh didapati di PBAKL bermula 26 Mei dan berakhir hari ini.

Selain Peluang Kedua, orang ramai juga boleh dapatkan novel thriller seram bertajuk Seringai.

Mohd Rizal
Mohd Rizal

Menurut penulisnya, Mohd Rizal Ramli, Seringai juga sesuai untuk diadaptasi menjadi filem bagi mengembangkan industri perfileman negara.

Katanya, cerita berkisarkan pertembungan antara manusia dan vampire itu belum pernah ditayangkan di Malaysia.

“Industri di negara ini memerlukan perubahan dengan memaparkan cerita-cerita yang berbeza daripada kebiasaan.

“Kalau tengok sinopsis mungkin biasa iaitu cerita pemburu vampire, namun jika digali kenapa mereka boleh jadi pemburu dan lihat konflik yang berlaku, cerita ini sangat menarik. Saya juga selit percintaan antara manusia dan vampire, dalam Malaysia tiada lagi filem sebegini.

“Saya yakin dengan jalan cerita dan kekuatan yang ada pada Seringai dapat menarik orang ramai untuk menonton.

“Jadi, saya berharap ada pihak produksi yang sudi untuk menjadikan novel ini sebagai filem dan jika benar-benar berlaku ia adalah sebuah kejayaan,” katanya yang turut berkongsi tip untuk menjadi penulis kisah seram, seseorang itu perlu berimaginasi tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!