Capai impian kongsi pengalaman, jualan novel travelog cecah 35,000
KUALA LUMPUR - Impian pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa, 29, dan isterinya, Noradilah Mohd Sapie, 30, untuk berkongsi pengalaman mereka berbasikal dari Malaysia ke Makkah tercapai, malah lebih membanggakan jualan novel dihasilkan mereka sudah mencecah 35,000 naskhah dalam tempoh tiga tahun.
Pasangan itu mula menjual novel travelog bersiri berjudul Ustazah Basikal - Nekad ke Makkah dan Ustazah Basikal - Yakin Kerana Dia pada awal 2020.
Bagaimanapun, Ahmad mengharapkan jualan novel tersebut mampu mencecah satu juta naskhah pada masa akan datang.
Katanya, lebih ramai yang membeli semakin banyak pengajaran dan moral yang ada dalam novel itu dapat disampaikan kepada masyarakat terutama melibatkan ketuhanan serta kehidupan sebagai seorang insan.
Menurut Ahmad, pada awalnya beliau tidak merancang untuk menulis buku, namun terdetik di hati untuk berkongsi cerita dan pengalaman dengan keluarga serta masyarakat.
“Selain itu, sudah lama saya menyimpan impian untuk berbasikal ke London, namun setiap kali menyuarakan hasrat kepada ibu dan ayah, mereka keberatan untuk melepaskan saya pergi.
“Setelah setahun, ibu seakan-akan bersetuju dengan syarat saya berkahwin. Apabila mendirikan rumah tangga pada Disember 2014, kami saling berkongsi impian masing-masing.
“Impian isteri untuk ke Tanah Suci manakala saya mahu mengembara ke London, jadi tercetus idea ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!