Real Madrid lepaskan Hazard
EDEN Hazard akan meninggalkan Real Madrid selepas empat musim yang mengecewakan bersama kelab gergasi Sepanyol itu.
Hazard menyertai Real dari Chelsea pada 2019 dengan yuran €115 juta (RM564 juta) dan disambut oleh 50,000 penyokong di Santiago Bernabeu.
Pemain antarabangsa Belgium itu berada di puncak permainannya, menjaringkan dua gol dalam perlawanan terakhirnya dengan Chelsea untuk membantu kelab Inggeris itu memenangi Liga Europa dengan menewaskan Arsenal 4-1.
Tetapi, malang menimpanya apabila mengalami kecederaan buku lali sebaik sahaja menyertai Real Madrid.
Beliau hanya membuat 54 penampilan liga dan hanya menjaringkan tujuh gol dalam tempoh empat tahun tersebut.
"Kelab Bola Sepak Real Madrid dan Eden Hazard telah mencapai persetujuan di mana pemain itu akan meninggalkan kelab pada 30 Jun 2023.
"Real Madrid ingin menyatakan rasa sayang kami kepada Eden Hazard dan kami mendoakan yang terbaik untuknya dan keluarganya untuk peringkat seterusnya dalam kariernya," kata Real dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, penyerang Real Marco Asensio turut akan meninggalkan Real Madrid akhir kontraknya pada bulan Jun.
Asensio memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara tiga kali masing-masing bersama Madrid, serta Copa del Rey musim ini buat kali pertama selain meledak 61 gol dalam 285 penampilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!