KPT akan perkenal sistem pembelajaran hibrid, anjal
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan anjal kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal itu menyebabkan para pelajar akan menghadiri kuliah hanya pada tahun pertama dan tahun akhir.
Menurut beliau, pada tahun-tahun di pertengahannya, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir ke kelas secara fizikal.
“Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja.
“Melalui inisiatif ini, bukan sahaja mahasiswa boleh menyusun aktiviti mereka dengan lebih fleksibel.
“Ia akan memberi beberapa kelebihan seperti, dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk mahasiswa bekerja atau melakukan perkara-perkara yang memerlukan mereka untuk tidak berada di kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya pada Ahad.
Menurut Mohamed Khaled, setakat ini, sebanyak 95 Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada 19 Universiti Awam bersedia melaksanakan perkara tersebut.
Jelasnya, pembelajaran anjal tersebut akan bermula dengan kemasukan Sesi Akademik 2023/2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!