Jual sebakul durian musang king serendah RM50
KUANTAN - Lambakan durian pada musim kali ini membuatkan raja buah itu dijual pada harga berpatutan dan sekali gus mampu dibeli semua golongan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi penjualan durian sekitar di Balok, Beserah dan Jalan Kuantan-Gambang mendapati harga durian ditawarkan lebih murah berbanding musim lalu.
Harga durian musang king kini dijual RM20 hingga RM35 sekilogram (mengikut gred) berbanding RM40 hingga RM65 pada musim lalu, manakala IOI dijual pada harga RM18 hingga RM20 berbanding RM30 hingga RM45 sekilogram.
Bagi, durian kampung kahwin pula antara RM15 hingga RM20 (RM20 hingga RM30 musim lalu) dan durian kampung pelbagai gred B dan C dijual pada harga RM4 hingga RM6 sekilogram.
Malah, peniaga raja buah di daerah ini turut menawarkan jualan secara bakul dan plastik besar bersaiz 26x33 inci bagi semua jenis durian termasuk Musang King pada harga RM50 hingga RM100.
Bagi, peniaga durian, Adam Haikal Mohd Zulkifli, 24, berkata, harga durian menurun sehingga 20 peratus berbanding musim lalu.
Menurutnya, penurunan harga itu dikesan sejak penghujung Mei lalu, apabila pengeluaran buah dikatakan berlaku serentak.
Justeru, katanya, bagi mengelak lambakan dan durian rosak adalah lebih baik menjual raja buah itu pada harga lebih murah kepada orang ramai.
"Kalau dulu, agak mahal (durian) kerana pengeluarannya terhad dan tidak banyak. Tapi kali ini semua tempat banyak durian dan pengeluaran raja buah itu di Johor Bharu, Perak dan Pahang juga boleh dikatakan banyak.
"Jadi, mahu tidak mahu, kami peniaga perlu tawaran harga berpatutan. Terus terang saya cakap inilah masa yang sesuai untuk semua golongan termasuk B40 membelinya.
"Harga murah seperti ini bukan selalu, jadi ambil peluang untuk membeli dan merasainya kerana pelbagai jenis durian harganya menurun ketara," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerai durian miliknya Jalan Kuantan-Gambang di sini pada Ahad.
Adam Haikal yang sudah menerokai bidang penjualan durian sejak lima tahun lalu memberitahu, pada ketika ini, harga durian bergantung kepada keadaan pasaran.
Ujarnya, disebabkan itu peniaga tidak boleh letak harga terlalu tinggi kerana ia menyebabkan kurang dapat sambutan daripada pelanggan
Jelas Adam Haikal, walaupun durian dijual pada harga murah, peniaga masih memperolehi keuntungan.
"Tipulah kalau saya kata tidak untung, untung itu tetap ada walaupun harga murah. Bila banyak durian kita jual banyak, banyak untungnya.
"Setiap hari lebih 10 tan pelbagai jenis durian terjual dan pembekal daripada Johor Bahru terpaksa menghantar bekalan durian setiap hari ke sini," ujarnya yang memastikan bekalan sentiasa ada bagi memenuhi permintaan orang ramai.
Sementara itu, peniaga durian, Fikri Auzai Nizam,30, pula berkata, pasaran ketika ini berlaku turun naik harga untuk semua jenis durian.
Menurutnya, harga sentiasa berubah dan tidak mungkin sama dengan hari ini, esok atau lusa.
"Apa yang saya perhatikan, durian kali ini luruh serentak terutama di Batu Pahat, dan Muar, Perak dan juga Pahang. Dulu kita boleh ambil durian dari Pahang jika di Batu Pahat belum tiba musim luruh.
"Sekarang luruh serentak jadi pasaran durian tidak meluas.Bila sudah situasi begini masing-masing ada lambakan buah. Jadi langkah terbaik adalah jual pada harga yang berpatutan," ujarnya.
Fikri memberitahu, penurunan harga buah itu tidak bermakna kualiti buah yang dijual turut menurun, sebaliknya penawaran harga dilakukan atas faktor lambakan buah itu di pasaran.
"Macam saya tawar kepada pelanggan tujuh bakul RM100 untuk pelbagai jenis durian termasuk kampung dan Musang King.
"Selain itu, untuk satu plastik bersaiz besar kita tawarkan RM50 hingga RM100. Pelanggan boleh memilih sendiri durian yang mereka inginkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!